Home / Malaysia / PEKERJA DIDAKWA TIDAK BACA BISMILLAH, LEBIH 6.5 TAN AYAM DISYAKI TIDAK DISEMBELIH MENGIKUT SYARAK DIRAMPAS!

PEKERJA DIDAKWA TIDAK BACA BISMILLAH, LEBIH 6.5 TAN AYAM DISYAKI TIDAK DISEMBELIH MENGIKUT SYARAK DIRAMPAS!

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendakwa tahap kepatuhan pusat penyembelihan dan pemprosesan ayam di negara ini masih sangat minimum, susulan pendedahan kes pemprosesan ayam yang disyaki tidak mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak.

Setiausaha Kerja PPIM, Zharif Johor yang pernah terbabit dalam industri berkenaan berkata, beliau pernah menyaksikan ketidakpatuhan termasuk pekerja merokok dan tidak membaca Bismillah ketika menyembelih ayam.

Beliau turut menggesa pihak berkuasa menyemak semula cadangan pelaksanaan pusat penyembelihan ayam secara berpusat bagi memastikan pemantauan lebih berkesan.

Menurutnya, cadangan itu sebelum ini mendapat bantahan industri kerana kos penyembelihan di pusat berpusat dianggarkan sekitar RM1 seekor, berbanding kira-kira 30 sen jika dilakukan sendiri oleh pengusaha.

Terdahulu, lebih 6.5 tan ayam mentah yang disyaki diproses tanpa mematuhi kaedah penyembelihan mengikut hukum syarak dan keperluan pensijilan halal dirampas dalam serbuan di sebuah gudang di Puchong.

Kilang berkenaan dipercayai mampu memproses sehingga 40,000 ekor ayam sehari. Lebih mengejutkan, kesemua 12 pekerjanya merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak memiliki sijil perakuan untuk menyembelih haiwan.

Mengulas kejadian itu, Zharif berkata insiden berkenaan perlu dijadikan pengajaran dan menuntut pemantauan lebih ketat oleh pihak berkuasa bagi mengelakkan masalah sama berulang.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan pusat penyembelihan berpusat dengan ukuran tertentu atau mengiktiraf hanya kilang terpilih yang memenuhi syarat ketat untuk menjalankan aktiviti penyembelihan ayam.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *