JELEBU – Kira-kira 250 jemaah di Masjid Jamek Kuala Klawang, Jelebu, tidak menunaikan solat Jumaat pada hari ini, sebaliknya menunaikan solat Zuhur susulan ketiadaan imam selepas imam masjid berkenaan meletakkan jawatan.
Peletakan jawatan itu dipercayai berkait dengan arahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) supaya nama Undang Luak Jelebu yang baharu dimasukkan dalam khutbah Jumaat.
Menurut sumber yang dikenali sebagai Omar, imam berkenaan keberatan melaksanakan arahan tersebut kerana pertikaian mengenai kedudukan Undang berkenaan masih belum selesai dan sedang melalui proses mahkamah.
Sumber itu berkata, imam berkenaan menerima hebahan melalui kumpulan WhatsApp JHEAINS pada Isnin lalu. Beliau kemudian mengambil keputusan meletakkan jawatan pada Selasa dan memaklumkan perkara itu kepada pegawai agama menerusi WhatsApp.
Pada hari kejadian, imam berkenaan hadir ke masjid sebagai jemaah biasa. Namun, apabila diminta oleh bilal untuk mengimamkan solat Jumaat, beliau memaklumkan bahawa dirinya sudah meletakkan jawatan. Beliau turut mempelawa wakil jabatan agama atau majlis agama untuk mengambil alih tugas menyampaikan khutbah.
Susulan tiada individu tampil, jemaah akhirnya dimaklumkan bahawa mereka perlu menunaikan solat Zuhur kerana tidak dapat mendirikan solat Jumaat dari sudut fikah, menurut sumber berkenaan.
Sementara itu, surat arahan JHEAINS bertarikh 26 Oktober menyatakan semua khatib diwajibkan menggunakan teks khutbah yang disediakan atau diperakukan jabatan tersebut. Khutbah kedua juga perlu mengandungi doa untuk Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan serta Undang Yang Empat mengikut luak masing-masing.
Setakat laporan diterbitkan, JHEAINS belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung kejadian itu.
Sumber : Kosmo! Online








