KUALA LUMPUR – Dokumentari terbaharu Johor Darul Ta’zim (JDT), UNTAMED, membawa peminat menyelami perjalanan 13 tahun kelab itu sehingga muncul sebagai antara kuasa utama bola sepak Asia.
Dokumentari yang berdurasi 76 minit itu memaparkan kisah di sebalik tabir JDT, termasuk kejayaan, cabaran, kontroversi serta pengorbanan yang diperlukan untuk mengekalkan budaya kemenangan pasukan Harimau Selatan.
Antara tumpuan utama ialah perkongsian Pemangku Sultan Johor merangkap pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail, mengenai visi, perjalanan dan aspirasi baginda untuk membawa kelab itu ke tahap lebih tinggi dalam arena bola sepak Asia.
Dokumentari tersebut turut menampilkan barisan pemain seperti Arif Aiman Mohd Hanapi, Bergson da Silva, Matt Davies dan La’vere Corbin Ong, selain bekas pemain Safiq Rahim dan Safee Sali serta bekas ketua jurulatih Bojan Hodak.
UNTAMED kini boleh distrim menerusi platform JDT+. Dokumentari ini memberi peluang kepada peminat untuk melihat usaha di sebalik tabir yang membentuk perjalanan JDT, bukan sekadar pencapaian mereka di atas padang.
Sepanjang 13 tahun, JDT telah mengumpul 35 trofi dan mencipta sejarah pada 2015 sebagai kelab Malaysia pertama menjuarai Piala AFC.









