KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyuarakan kebimbangan terhadap kemerosotan budaya membaca dan menelaah serta kecenderungan berfikir secara cetek dalam era digital yang boleh mengancam masa depan peradaban.
Menerusi perkongsian di Facebook pada 28 Oktober, beliau membangkitkan isu itu selepas membaca karya James Marriott bertajuk The New Dark Ages: The End of Reading and the Dawn of a Post-Literate Society.
Menurut Anwar, cabaran hari ini bukan sekadar kekurangan akses kepada ilmu, sebaliknya lambakan maklumat yang tidak diiringi minat dan kesabaran untuk membaca, merenung serta berfikir secara kritis dan mendalam.
Beliau turut mengimbas sejarah pemergian penulis Perancis, Victor Hugo, pada 1885, yang menyaksikan kira-kira dua juta orang berhimpun di Paris, serta kematian Fyodor Dostoevsky pada 1881, yang diiringi puluhan ribu orang di Saint Petersburg.
Bagi beliau, penghormatan terhadap kedua-dua tokoh itu menggambarkan bagaimana masyarakat ketika itu menyanjung tinggi kesusasteraan, tradisi ilmu dan pemikiran.









