KUCHING – Seorang guru di sebuah sekolah antarabangsa di Kuching, Sarawak mengalami kecederaan ketika cuba merampas objek tajam yang dibawa seorang pelajar sekolah menengah ke kawasan sekolah pada pagi Rabu.
Menurut makluman pihak sekolah, pelajar berusia 16 tahun itu berjaya dikawal sebelum dibawa ke pejabat pengetua untuk berada di bawah pengawasan sementara menunggu tindakan lanjut.
Guru yang cedera segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan selepas pihak sekolah menghubungi ambulans. Polis turut hadir ke lokasi dan mengambil alih pengendalian kes, manakala ibu bapa pelajar terbabit telah dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Dalam pemeriksaan terhadap beg pelajar berkenaan, polis turut menemukan satu barangan yang memerlukan pemeriksaan lanjut. Perkara itu kini dalam penelitian pihak berkuasa.
Sebagai langkah berjaga-jaga dan atas nasihat polis, pihak sekolah mengarahkan penutupan sekolah bagi membolehkan siasatan dijalankan. Pihak sekolah memaklumkan tiada kecederaan lain dilaporkan setakat ini









