Home / Malaysia / KPDN Bongkar Taktik Salah Guna Minyak Masak Subsidi, Hampir 16 Tan Dirampas Di Klang

KPDN Bongkar Taktik Salah Guna Minyak Masak Subsidi, Hampir 16 Tan Dirampas Di Klang

SHAH ALAM – Kegiatan disyaki menyeleweng minyak masak peket bersubsidi terbongkar selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor menyerbu sebuah premis di Pelabuhan Klang.

Dalam serbuan menerusi Ops Tiris 4.0 itu, pihak berkuasa telah menyita kira-kira 15,900 kilogram minyak masak yang dianggarkan bernilai RM133,950. Operasi berkenaan turut melibatkan Pasukan Polis Marin.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, siasatan awal mendapati minyak masak peket satu kilogram dipercayai dibawa ke premis berkenaan sebelum dicampurkan dengan minyak masak terpakai di dalam tangki simpanan khas.

Campuran itu disyaki disimpan untuk dijual semula kepada syarikat pemprosesan minyak masak terpakai atau dipasarkan melalui pasaran gelap bagi memperoleh keuntungan berganda.

Seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 30-an yang bekerja di premis itu ditahan bagi membantu siasatan. Pemeriksaan turut menemukan kotak berisi minyak masak peket serta bungkusan plastik yang telah dipotong. Sebuah lori dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dalam kegiatan itu turut disita.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat.

Sumber : Buletin TV3

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *