KUALA LUMPUR – Penyelesaian krisis etnik Rohingya tidak boleh diletakkan di bahu Malaysia semata-mata, sebaliknya memerlukan tindakan nyata dari Myanmar untuk menangani punca konflik yang berlarutan di negara tersebut.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Malaysia akan terus memainkan peranan melalui saluran diplomatik dan kerjasama kemanusiaan, namun usaha tersebut perlu disokong ASEAN serta masyarakat antarabangsa.
Menurut beliau, penghantaran pulang etnik Rohingya hanya dapat dilaksanakan secara berkekalan sekiranya keadaan di Myanmar membolehkan mereka kembali dengan selamat, secara sukarela, bermaruah dan mampan.
Malaysia turut berinteraksi dengan pihak Myanmar bagi menggalakkan jaminan hak, perlindungan serta peluang yang saksama kepada etnik Rohingya supaya mereka dapat membina semula kehidupan tanpa diskriminasi atau pengecualian.
Di peringkat serantau, ASEAN meneruskan usaha melalui Konsensus Lima Perkara (5PC), termasuk menggesa penghentian keganasan, memperluas akses bantuan kemanusiaan tanpa diskriminasi dan menggalakkan dialog inklusif. Utusan Khas Pengerusi ASEAN Mengenai Myanmar, Tan Sri Othman Hashim, turut meneruskan usaha menggalakkan pelaksanaan konsensus berkenaan.
Dalam aspek kemanusiaan, Malaysia menyokong usaha Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan ASEAN (AHA) untuk menyelaras bantuan kepada penduduk Myanmar yang terjejas akibat konflik. Usaha itu menunjukkan bahawa penyelesaian krisis memerlukan kerjasama pelbagai pihak, bukan hanya bergantung kepada Malaysia.
Foto : BERNAMA









