KUALA LUMPUR – Kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekiranya terdapat keperluan berbuat demikian.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan itu boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat maklumat, bukti atau dapatan kukuh yang menunjukkan keperluan untuk menjalankan siasatan awam secara menyeluruh dan bebas.
Menurut beliau, kerajaan komited memastikan sebarang isu berkaitan pengurusan dana awam, termasuk aspek tadbir urus serta keputusan pelaburan, diteliti berdasarkan fakta dan bukti melalui mekanisme pengawasan yang sewajarnya.
Azalina menjelaskan, sekiranya hasil penelitian menunjukkan terdapat kepentingan awam yang jelas untuk mengadakan siasatan khas, cadangan penubuhan RCI boleh dipertimbangkan mengikut prosedur ditetapkan.
Proses itu melibatkan pengemukaan memorandum kepada Jemaah Menteri untuk kelulusan sebelum Perdana Menteri memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong. Penubuhan suruhanjaya kemudiannya perlu diwartakan sebelum dilaksanakan.
Bagaimanapun, kenyataan kerajaan itu merupakan kesediaan untuk mempertimbangkan cadangan berkenaan jika perlu, bukannya pengumuman bahawa RCI terhadap KWAP dan KWSP telah ditubuhkan.
Sumber : BERNAMA









