Home / Malaysia / Wanita Rugi RM130,000 Gara-Gara Tawaran Kerja Sambilan Tempahan Hotel

Wanita Rugi RM130,000 Gara-Gara Tawaran Kerja Sambilan Tempahan Hotel

KAMPAR – Hasrat seorang wanita berusia 34 tahun untuk memperoleh pendapatan tambahan bertukar menjadi kerugian besar apabila dia dipercayai diperdaya sindiket penipuan kerja sambilan sehingga kehilangan RM130,000.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud, berkata mangsa tertarik dengan iklan kerja sambilan berkaitan tempahan hotel dalam talian yang ditemuinya di media sosial. Selepas meninggalkan nombor telefon, mangsa dihubungi individu tidak dikenali dan dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp yang kononnya menguruskan tempahan hotel.

Mangsa kemudian diarahkan membuat beberapa pemindahan wang ke lapan akaun bank yang diberikan suspek. Sebagai balasan, mangsa dijanjikan modal akan dipulangkan bersama komisen antara 10 hingga 20 peratus, dengan kadar komisen dikatakan meningkat mengikut jumlah transaksi.

Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dirinya ditipu apabila wang modal dan komisen yang dijanjikan tidak diterima selepas semua pembayaran dibuat. Polis menerima laporan berhubung kejadian itu pada Isnin dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai tawaran kerja melalui media sosial dan membuat semakan sebelum melakukan transaksi kewangan. Nombor akaun bank atau telefon yang mencurigakan boleh disemak melalui portal Semak Mule PDRM. Jika menjadi mangsa penipuan, orang ramai diminta segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997.

Sumber : Sinar Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *