Panglima ATM, Panglima Tentera Darat Terima PGAT Daripada Agong
KUALA LUMPUR – Dua pemimpin tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerima pengiktirafan atas jasa dan khidmat mereka dalam mempertahankan keselamatan serta kedaulatan negara.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Darjah Panglima Gagah Angkatan Tentera (PGAT) kepada Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Azhan Md Othman.
Penganugerahan itu berlangsung pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Angkatan Tentera (DKAT) 2026 di Balairung Seri Istana Negara, hari ini.
Malek Razak mendahului senarai 150 penerima pingat pada sesi pertama, yang diadakan bersempena sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia ke-93.
Selain kedua-dua panglima berkenaan, Seri Paduka Baginda turut mengurniakan PGAT Kehormat kepada empat panglima tentera dari Thailand, Singapura, Brunei dan Filipina.
Dalam istiadat sama, 22 individu menerima Darjah Panglima Setia Angkatan Tentera (PSAT), 30 menerima Pahlawan Angkatan Tentera (PAT), manakala 49 penerima menerima Kesatria Angkatan Tentera (KAT) dan 43 lagi Bentara Angkatan Tentera (BAT).
Secara keseluruhan, penganugerahan DKAT 2026 akan melibatkan 640 penerima dalam dua sesi. Sesi kedua dijadual berlangsung pada 22 Oktober di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM.
Penganugerahan ini menjadi antara bentuk penghargaan kepada warga ATM yang melaksanakan amanah dalam mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Sumber : BERNAMA
Foto : FB Sultan Ibrahim
