Wi-Fi USM Diperkasa, 1,925 Titik Akses Kini Beroperasi
NIBONG TEBAL – Bagi mahasiswa, internet yang perlahan bukan sekadar soal susah nak buka laman web. Tugasan, bahan pembelajaran dan urusan harian di kampus semuanya kini banyak bergantung kepada capaian Internet yang stabil.
Sebab itu, kemudahan Wi-Fi di Universiti Sains Malaysia (USM) kini terus diperkasa menerusi Projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) Wi-Fi yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Setakat 30 September lalu, sebanyak 1,925 titik akses Wi-Fi telah beroperasi di USM. Jumlah itu termasuk 822 titik akses tambahan di bawah Projek Wi-Fi IPTA Fasa 3 yang siap lebih awal pada 18 September.
Daripada jumlah tersebut, 740 titik akses dipasang di USM Kampus Nibong Tebal, manakala 41 titik akses masing-masing disediakan di USM IPPT Bertam dan USM Bukit Jambul.
Namun, usaha itu belum berhenti di situ. Sebanyak 4,150 titik akses tambahan sedang dipasang di Kampus Induk USM dan disasarkan siap menjelang 30 Oktober ini.
Peningkatan capaian ini memberi tumpuan kepada lokasi yang banyak digunakan warga kampus seperti dewan kuliah, makmal, perpustakaan, pusat pelajar dan kolej kediaman.
Di Pulau Pinang pula, projek peluasan Wi-Fi melibatkan 32 lokasi dengan anggaran pelaburan RM61.5 juta melalui USP. Sebanyak 24 lokasi atau 75 peratus telah siap setakat 29 September.
Secara keseluruhan, projek Wi-Fi di peringkat nasional melibatkan 538 lokasi dengan anggaran pelaburan sekitar RM634.1 juta. Setakat 30 September, 408 lokasi atau 76 peratus telah siap.
Dengan capaian yang lebih stabil dan pantas, kemudahan ini diharap dapat memudahkan urusan pembelajaran mahasiswa serta menyokong keperluan tenaga pengajar dan komuniti pendidikan.
Sumber : BERNAMA
Foto : FB Teo Nie Ching
