1,476 warga Myanmar dihantar pulang menerusi Ops Pier 1.0
LUMUT – Seramai 1,476 warga Myanmar yang sebelum ini ditempatkan di 14 Depot Tahanan Imigresen di seluruh negara dihantar pulang ke negara asal hari ini menerusi Ops Pier 1.0.
Operasi bermula seawal jam 4 pagi apabila mereka dikumpulkan di Stadium Manjung untuk pemeriksaan kesihatan dan sarapan sebelum dibawa ke Pangkalan TLDM Lumut menggunakan 46 bas.
Setibanya di pangkalan sekitar jam 8 pagi, mereka dipindahkan ke kapal Tentera Laut Myanmar untuk meneruskan perjalanan pulang.
Menurut Kementerian Dalam Negeri (KDN), penghantaran ini merupakan fasa pertama daripada 5,000 warga Myanmar yang dipersetujui untuk dihantar pulang secara berperingkat. Nama individu terbabit telah dikenal pasti oleh kerajaan Myanmar melalui nota diplomatik bertarikh 13 Ogos 2026.
Kesemua yang dihantar pulang dikenal pasti layak dan bersetuju untuk kembali ke Myanmar secara sukarela. Mereka berusia antara 8 hingga 60 tahun, terdiri daripada 1,370 lelaki, 79 wanita serta 27 kanak-kanak.
Kerajaan Myanmar menyediakan tiga kapal bagi operasi berkenaan, manakala perjalanan keluar dari perairan Malaysia turut diiringi aset keselamatan TLDM dan APMM sehingga ke lokasi yang dipersetujui.
Operasi ini melibatkan kerjasama KDN, Jabatan Imigresen Malaysia, Kementerian Luar, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan dan TLDM.
Sumber : Astro AWANI
