ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Pertemuan Anwar, Muizzu Tumpu Usaha Perkukuh Hubungan Dua Hala Malaysia-Maldives

MALÉ – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan pertemuan dengan Presiden Maldives, Dr Mohamed Muizzu hari ini, sebagai acara utama lawatan rasmi dua hari beliau ke republik kepulauan itu.

Anwar dijadual memulakan program rasmi di Pejabat Presiden pada 9 pagi waktu tempatan dengan menghadiri Majlis Sambutan Rasmi di Republic Square sebelum mengadakan pertemuan empat mata dengan Muizzu.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha memperkukuh hubungan Malaysia-Maldives, termasuk dalam bidang perdagangan, pelaburan dan pelancongan, selain bertukar pandangan mengenai isu serantau serta antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama.

Pertemuan itu turut dijangka meneroka bidang kerjasama baharu susulan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Maldives yang terjalin sejak 1968.

Mesyuarat delegasi Malaysia-Maldives selepas itu akan membincangkan langkah selanjutnya bagi memperluas kerjasama antara kedua-dua negara.

Anwar dan Muizzu turut dijadual menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan dan hal ehwal Islam sebelum mengadakan sidang media bersama.

Jadual lawatan Perdana Menteri diteruskan dengan kunjungan hormat Naib Presiden Maldives, Yang Dipertua Majlis Rakyat Maldives serta Menteri Luar Maldives secara berasingan di Niva Kurumba pada sebelah tengah hari.

Anwar turut dijadual mengadakan sidang media bersama media Malaysia sebelum menghadiri jamuan makan tengah hari rasmi yang dihoskan Muizzu.

Beliau dijadual berlepas pulang ke Malaysia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Velana petang ini, sekali gus mengakhiri lawatan rasmi beliau ke Maldives.

Malaysia dan Maldives turut mempunyai hubungan erat dalam bidang perdagangan, pelaburan serta hubungan rakyat dengan rakyat.

Pada 2025, Maldives merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di Asia Selatan dengan jumlah perdagangan dua hala bernilai RM792 juta, manakala eksport Malaysia ke Maldives berjumlah RM786.2 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *