AI Untuk Rakyat: 100,000 Anak Muda Berpeluang Akses ILMUchat Pro Percuma
KUALA LUMPUR – Seramai 100,000 rakyat Malaysia berusia antara 18 hingga 30 tahun disasar menerima akses percuma kepada ILMUchat Pro selama tiga bulan menerusi program AI Untuk Rakyat.
Ketua Pegawai Eksekutif YTL AI Labs, Foong Chee Mun berkata inisiatif itu bertujuan memperluas pengetahuan dan kemahiran kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan generasi muda, sekali gus membolehkan mereka bukan sahaja menggunakan teknologi berkenaan, malah turut mencorakkan masa depannya.
“Kami berbangga dapat menyokong Kerajaan Malaysia dalam merealisasikan aspirasi Malaysia untuk menjadi negara peneraju AI, yang dimulakan dengan memberi akses kepada ILMUchat Pro untuk rakyat muda Malaysia melalui program AI Untuk Rakyat.
“Kami berharap dapat memperkasakan generasi ini bukan sahaja untuk menggunakan AI, malah menjadi pembangun dan penyumbang yang mencorakkan masa depan AI Malaysia,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
AI Untuk Rakyat merupakan inisiatif kebangsaan Kementerian Digital yang dilaksanakan dengan kerjasama YTL AI Labs dan MyDIGITAL Corporation menerusi platform latihan digital kebangsaan Rakyat Digital.
Program itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Julai lepas sempena pelancaran AI Malaysia di Cyberjaya bersama Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030.
Menerusi tawaran itu, peserta yang melengkapkan modul pembelajaran ditetapkan dalam Rakyat Digital dan memilih ILMUchat akan menerima akses tanpa had kepada ILMUchat Pro selama tiga bulan, yang biasanya ditawarkan pada harga RM50 sebulan.

MyDigital ID akan digunakan bagi mengesahkan kelayakan peserta serta memastikan akses kepada langganan percuma itu dilaksanakan dengan selamat dan lancar.
ILMUchat Pro ialah pembantu AI yang dibangunkan berdasarkan cara rakyat Malaysia berkomunikasi dan bekerja, termasuk pertukaran bahasa secara semula jadi antara bahasa Melayu, bahasa Inggeris, bahasa Cina dan Manglish.
Platform itu boleh digunakan untuk pelbagai tugasan harian, pendidikan dan profesional termasuk merangka e-mel serta surat, mencari perkhidmatan tempatan, menghasilkan poster dan grafik serta menyediakan slaid pembentangan.
Pengguna turut boleh membina prototaip aplikasi berfungsi tanpa menulis kod, selain mendapatkan bantuan berkaitan pembayaran balik Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), permohonan geran perusahaan kecil dan sederhana serta permohonan pekerjaan.
Bagi mendapatkan tawaran itu, peserta perlu mendaftar masuk ke platform Rakyat Digital dan melengkapkan modul pembelajaran yang ditetapkan.
Peserta seterusnya perlu memilih ILMUchat Pro pada papan pemuka Rakyat Digital sebelum mendaftar masuk ke ILMUchat menggunakan MyDigital ID bagi mengaktifkan akses percuma selama tiga bulan.
YTL AI Labs merupakan pusat inovasi AI di bawah YTL Power International Berhad yang membangunkan model AI berdaulat berteraskan keperluan, nilai dan konteks tempatan.
Model utamanya, ILMU, direka dengan pemahaman budaya serta konteks tempatan dan kefasihan dalam bahasa Melayu bagi memenuhi keperluan pasaran serta masyarakat Malaysia.
