Mahkota Kesultanan Kelantan Berusia Lebih 100 Tahun Hasil Seni Tukang Tempatan
KOTA BHARU – Ketika kebanyakan negeri Kesultanan Melayu pada suatu ketika dahulu mendapatkan mahkota kebesaran dari England, Kelantan mempunyai keunikan tersendiri apabila mahkota kebesarannya dihasilkan oleh tukang Melayu tempatan yang dipercayai berasal dari Kampung Kubang Pasu di sini.
Mahkota berusia lebih 100 tahun itu dipamerkan kepada umum buat pertama kali sempena Festival Senjata Warisan Kelantan 2026 di Istana Balai Besar di sini, yang berlangsung dari 16 Ogos hingga Sabtu ini.
Pegawai Protokol Pejabat Sultan Kelantan, Mohamed Safaruddin Ismail berkata mahkota itu diilhamkan Sultan Ismail ibni Almarhum Sultan Muhammad IV yang memerintah Kelantan dari 1920 hingga 1944 dan mula digunakan pada 28 April 1921 sempena istiadat pertabalan baginda.
Beliau berkata pada istiadat berkenaan, mahkota itu dipakaikan kepada Sultan Ismail oleh Tengku Temenggung Abdul Ghaffar ibni Almarhum Sultan Muhammad II, sekali gus menjadi sebahagian daripada sejarah pemerintahan Kesultanan Kelantan.
“Keunikan mahkota ini ialah ketika kebanyakan negeri membuat mahkota kebesaran di England, mahkota Kelantan pula dihasilkan oleh tukang Melayu Kelantan yang dipercayai berasal dari Kampung Kubang Pasu.
“Ia memperlihatkan kemahiran pertukangan emas masyarakat tempatan pada ketika itu yang mampu menghasilkan alat kebesaran diraja dengan nilai seni yang tinggi,” katanya.
Mohamed Safaruddin berkata mahkota itu pada asalnya diperbuat daripada 16 bungkal emas sepuluh dan dihiasi ukiran motif daun ‘dala’ muda, selain lambang bulan sabit serta bintang berujung lima di bahagian atas yang beralaskan baldu biru raja.
Menurut beliau, mahkota berkenaan kemudiannya melalui beberapa proses penambahan oleh Sultan-sultan Kelantan berikutnya.
“Sebanyak 470 butir berlian serta 52 butir zamrud dan delima ditambah ketika pemerintahan Almarhum Sultan Yahya Petra ibni Almarhum Sultan Ibrahim, manakala 721 butir berlian dan 44 butir zamrud ditambah ketika pemerintahan Almarhum Sultan Ismail Petra ibni Almarhum Sultan Yahya Petra,” katanya.
Beliau berkata mahkota berkenaan merupakan satu-satunya mahkota bagi Kesultanan Kelantan dan lazimnya hanya dibawa keluar untuk diletakkan di sebelah kanan singgahsana ketika sambutan Hari Keputeraan Sultan.
“Oleh itu, bukan semua orang berpeluang melihatnya secara dekat,” katanya.
Mohamed Safaruddin berkata pemilihan mahkota itu sebagai tarikan utama festival tahun ini turut mengambil kira sambutan orang ramai terhadap pameran alat kebesaran Kesultanan Kelantan sebelum ini, termasuk keris Tok Chu bersama Sampir Kuseriwa pada 2024 dan artifak ufti diraja Bunga Emas tahun lepas.
Beliau berkata pahar untuk meletakkan mahkota itu diperbuat daripada emas tulen 999 dan dianggarkan seberat hampir satu kilogram.
“Sepanjang festival, kawalan keselamatan yang ketat dilaksanakan membabitkan anggota keselamatan awam,” katanya.
Festival berkenaan turut menampilkan pelbagai senjata tradisional, pitis serta khazanah warisan Kelantan dan dijangka menarik 50,000 pengunjung berbanding 42,000 tahun lepas.
Jumlah pengunjung asing khususnya dari Indonesia juga dijangka meningkat susulan penerbangan terus dari Jakarta ke Kota Bharu serta peningkatan kemudahan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra.
