ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Rakyat Malaysia Perlu Terus Bersatu Dalam Kepelbagaian, Membina Kebersamaan

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu terus menjadi sebuah negara yang rakyatnya mampu berbeza tanpa berpecah, bersuara tanpa membenci serta mempertahankan identiti tanpa merendahkan pihak lain, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau berkata rakyat tidak perlu menjadi sama untuk bersatu kerana kepelbagaian bahasa, budaya, agama dan adat merupakan kekuatan negara, manakala generasi masa kini bertanggungjawab memperkukuh Malaysia yang telah dibentuk oleh generasi terdahulu.

“Kepelbagaian itulah kekuatan kita. Perpaduan tidak boleh hanya dipertahankan ketika krisis. Perpaduan mesti dibina setiap hari. Daripada mengurus kepelbagaian, kita mesti membina kebersamaan.

“Daripada sekadar mengelakkan perpecahan, kita mesti memperkukuh rasa memiliki. Dan daripada sekadar hidup bersama, kita mesti membina masa depan bersama,” katanya dalam kenyataan sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September.

Aaron berkata cabaran terhadap perpaduan turut berubah dalam era digital apabila sesuatu insiden kecil boleh menjadi besar dalam sekelip mata selepas dirakam, disebarkan atau diambil di luar konteks.

“Salah faham, maklumat palsu dan provokasi boleh bergerak lebih pantas daripada usaha membina kefahaman,” katanya.

Beliau berkata Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2025 mencatatkan skor 0.701, meningkat daripada 0.629 pada 2022 dan 0.567 pada 2018, menunjukkan asas perpaduan negara terus mengukuh meskipun masih banyak usaha perlu dilaksanakan.

Menurut Aaron, Kementerian Perpaduan Negara mengutamakan pendekatan pencegahan, mediasi dan dialog bagi mengenal pasti serta menangani ketegangan sebelum berkembang menjadi konflik.

Katanya, kementerian mempunyai 596 Mediator Komuniti terlatih serta Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIP) yang melibatkan 12 agensi kerajaan sebagai antara mekanisme menangani isu berkaitan perpaduan.

Bagaimanapun, Aaron berkata usaha memperkukuh perpaduan tidak seharusnya tertumpu kepada pengurusan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja (3R) semata-mata.

Sebaliknya, pelbagai defisit sosial termasuk jurang pendidikan, bahasa, generasi, kelas sosial, politik, bandar dan luar bandar serta media perlu turut ditangani.

Beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-13, usaha akan ditumpukan kepada pengukuhan identiti bersama, penghayatan Rukun Negara, peluasan ruang interaksi antara komuniti serta pembinaan rasa memiliki terhadap tanah air.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *