Pusat Sebaran Maklumat Nasional Kini Jadi Contoh, Rujukan Negara Luar
BATU PAHAT – Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini menjadi rujukan dan contoh kepada beberapa negara luar yang berminat mengadaptasi model transformasi digital komuniti berkenaan susulan kejayaannya memperkasa masyarakat menerusi pelbagai program kemahiran dan keusahawanan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata NADI di bawah seliaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melalui transformasi besar daripada sekadar kafe siber luar bandar kepada hab pembangunan digital komuniti.
Beliau berkata NADI kini menawarkan pelbagai modul yang memberi manfaat kepada masyarakat termasuk saringan kesihatan, latihan kemahiran seperti membaiki telefon bimbit dan fotografi serta program keusahawanan bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi penduduk setempat.
“Perkembangan ini menyebabkan badan antarabangsa, International Telecommunication Union (ITU), mengiktiraf MCMC dan NADI sebagai rakan kongsi pusat transformasi digital.
“Ini satu pengiktirafan yang besar, dan pada masa yang sama banyak negara lain sedang melihat serta cuba mencontohi model NADI,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran AI for Community@NADI serta Pusat NADI Kampung Parit Kemang di sini, semalam.
Fahmi berkata antara negara yang menunjukkan minat terhadap model berkenaan ialah Timor-Leste, yang telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Malaysia bagi membolehkan pendekatan NADI dilaksanakan di negara itu.
“Apabila kita menerima Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN yang ke-11, mereka melihat beberapa perkara yang ingin dipelajari daripada Malaysia, antaranya model NADI dan melalui memorandum persefahaman yang ditandatangani, kita akan membawa model ini untuk dilaksanakan di Timor-Leste,” katanya.
Beliau berkata pencapaian NADI turut didorong oleh kemudahan Internet berkelajuan tinggi yang disediakan di beberapa pusat berkenaan, malah ada antaranya menawarkan kelajuan sehingga 1 Gbps, sekali gus membolehkan pelbagai program transformasi digital dilaksanakan dengan lebih berkesan.
Mengenai Program AI for Community@NADI, Fahmi dalam ucapannya berkata inisiatif itu bertujuan memperluas literasi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan masyarakat di peringkat akar umbi, selain memberi pendedahan mengenai penggunaan AI secara praktikal dan bertanggungjawab.
Sehubungan itu, beliau mengulangi sasaran kerajaan untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang individu yang mahir dalam prompt engineering (kejuruteraan prom) di setiap NADI di seluruh negara menerusi program berkenaan.
“Bila faham dan fasih tentang prompt engineering, mereka mempunyai kemampuan membina aplikasi yang boleh membantu komuniti termasuk mencari pasaran dan pelanggan bagi produk tempatan,” katanya.
Program itu dilaksanakan dengan kerjasama Pepper Labs dan Amazon Web Services (AWS) bagi memastikan masyarakat, khususnya di peringkat akar umbi, mendapat pendedahan kepada kemahiran AI selaras dengan perkembangan teknologi semasa.
Ia menyasarkan 5,010 peserta daripada 167 NADI di 10 negeri, termasuk 17 lokasi di Johor, bagi memperluas akses kepada kemahiran AI secara inklusif.
Para peserta didedahkan kepada asas dan aplikasi AI termasuk kejuruteraan prom, penggunaannya untuk perniagaan mikro, peningkatan produktiviti serta amalan AI secara bertanggungjawab.
