ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

JDT Cipta Rekod Dunia, Pertahan Piala Sultan Haji Ahmad Shah

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah selepas menewaskan Kuching City FC (KCFC) 3-0 pada aksi Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim di sini, malam ini.

Kemenangan itu turut menyaksikan skuad Harimau Selatan mencipta rekod dunia baharu apabila mencatatkan 109 perlawanan liga tanpa kalah berturut-turut sejak 2021, mengatasi rekod 108 perlawanan sebelum ini yang dipegang kelab Ivory Coast, ASEC Mimosas, dari 1989 hingga 1994.

Kejayaan dalam aksi pembuka tirai Liga Malaysia musim 2026-2027 itu turut menghadiahkan tiga mata kepada JDT yang memulakan kempen Liga Super dengan langkah kanan.

Marcos Guilherme, Oscar Arribas dan Shahab Zahedi masing-masing mencatatkan nama sebagai penjaring bagi melengkapkan kemenangan bergaya skuad kendalian Xisco Munoz.

JDT tampil menguasai permainan sejak awal perlawanan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya ke arah kubu KCFC.

Bagaimanapun, ketangkasan penjaga gol Kuching City, Muhammad Haziq Nadzli, berjaya menggagalkan beberapa percubaan pasukan tuan rumah.

Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-11 apabila Guilherme menyudahkan hantaran Bergson da Silva untuk meletakkan JDT di hadapan.

Bersambung babak kedua, Kuching City yang kurang mencipta gerakan berbahaya cuba bangkit dan hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan Gabriel Nistelrooy, namun percubaannya ditepis penjaga gol JDT, Ahmad Syihan Hazmi.

JDT terus meningkatkan tekanan dan menggandakan kelebihan pada minit ke-55 apabila Arribas meledak rembatan kencang yang menewaskan Muhammad Haziq.

Skuad Harimau Selatan kemudian hampir menambah jaringan pada minit ke-80 menerusi Arribas, namun percubaannya sedikit tersasar.

JDT akhirnya melengkapkan kemenangan 3-0 pada minit ke-86 apabila Shahab menyudahkan bola muntah selepas Muhammad Haziq gagal menangkap kemas percubaan sebelumnya.

Keputusan itu kekal sehingga wisel penamat di hadapan 32,372 penyokong yang hadir menyaksikan perlawanan berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *