Jerebu: Kualiti Udara Di Sarawak Semakin ‘Parah’
KUCHING – Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Serian terus meningkat pagi ini apabila mencatatkan paras sangat tidak sihat, susulan keadaan jerebu rentas sempadan yang menjejaskan beberapa kawasan di Sarawak.
Berdasarkan data Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS), bacaan IPU di stesen pemantauan kualiti udara di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serian mencecah 242 setakat jam 6 pagi.
Serian yang terletak berhampiran sempadan Malaysia-Indonesia merupakan satu-satunya kawasan yang mencatatkan kualiti udara pada tahap sangat tidak sihat.
Lapan kawasan lain di Sarawak pula merekodkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, iaitu Sri Aman (189), Kuching (188), Samarahan (180), Sarikei (172), Sibu (156), Bintulu (153), Kapit (107) serta Samalaju.
Susulan kemerosotan kualiti udara, sebanyak 591 sekolah di bawah seliaan 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak ditutup hari ini.
Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dalam kenyataan semalam memaklumkan penutupan itu membabitkan 509 sekolah rendah dengan 107,590 murid serta 82 sekolah menengah melibatkan 89,733 pelajar.
Sekolah yang terlibat berada di bawah seliaan PPD Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Samarahan, Simunjan, Serian, Sri Aman, Lubok Antu dan Betong.
Sementara itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memaklumkan pemantauan rapi terhadap perkembangan cuaca, kualiti udara, titik panas, risiko kebakaran hutan dan tanah gambut serta status sumber bekalan air negeri terus dilaksanakan bersama agensi berkaitan.
