ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Perancangan RGK Diperkenan Agong Tak Boleh Diubah Demi Kepentingan Tertentu

MERSING – Semua pihak yang terlibat dalam perancangan pembangunan Rejimen Gerak Khas (RGK) diingatkan supaya tidak mengubah keputusan yang telah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim demi kepentingan pihak tertentu.

Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah setiap perancangan dan pembangunan membabitkan RGK perlu mendapat perkenan Seri Paduka Baginda selaku Kolonel Komandan RGK serta dilaksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab demi keselamatan serta kedaulatan negara.

“Apa jua yang telah diperkenankan tidak seharusnya berubah hanya disebabkan kepentingan pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan atas apa yang telah dirancang dengan baik sebelum ini.

“Bak kata pepatah, harapkan pagar, pagar makan padi,” titah baginda ketika berucap pada majlis perbarisan sempena Ulang Tahun RGK ke-61 di sini, hari ini.

Tunku Mahkota Ismail turut menegur beberapa perkara berkaitan pengurusan di Kementerian Pertahanan (MINDEF) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Saya tahu siapa yang kawal KSU (Ketua Setiausaha) Kementerian Pertahanan. Insya-Allah kita akan berjumpa dalam masa terdekat. Tujuan saya adalah untuk selesaikan ‘kanser’ yang tidak patut wujud dalam ATM,” titah baginda.

Baginda bertitah pucuk kepimpinan MINDEF, ATM dan Tentera Darat Malaysia bertanggungjawab memastikan keperluan RGK, termasuk dari segi kelengkapan, persenjataan, mobiliti, teknologi, sistem sokongan dan aset operasi, berada pada tahap terbaik.

Menurut baginda, keperluan itu semakin penting berikutan landskap keselamatan yang semakin kompleks dan sukar diramal, termasuk perkembangan geopolitik di rantau Indo-Pasifik, situasi di Laut China Selatan serta persaingan antara kuasa besar.

“Kita tidak boleh berasa selesa dengan keupayaan yang sedia ada. Oleh sebab itu, tindakan dan perhatian yang lebih serius terhadap keperluan Rejimen Gerak Khas perlu berada pada tahap terbaik dan bersesuaian dengan tuntutan operasi semasa serta masa hadapan,” titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail turut menggesa kerajaan memastikan setiap proses pembangunan dan perolehan bagi RGK dilaksanakan berdasarkan keupayaan, kualiti, keberkesanan operasi serta nilai terbaik kepada pasukan itu.

Baginda bertitah setiap rancangan pembangunan dan perolehan RGK menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) perlu diberikan keutamaan dan perhatian serius dengan mengambil kira teknologi terkini, keberkesanan kos, kesesuaian operasi serta keperluan jangka panjang.

Dalam pada itu, baginda menegaskan aspek kebajikan dan perancangan kerjaya anggota juga perlu diuruskan secara telus serta berasaskan merit, tanpa dipengaruhi kepentingan peribadi atau budaya pilih kasih.

“Tidak seharusnya wujud ruang untuk kepentingan peribadi. Budaya pilih kasih atau pertimbangan yang tidak berasaskan merit dalam menentukan masa depan seorang anggota, kegagalan sistem dan pengurusan yang dilaksanakan secara tidak telus akan memberikan implikasi kepada keperluan organisasi,” titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail turut mengingatkan setiap warga RGK supaya terus mengekalkan tahap kemahiran, ketahanan fizikal dan mental, integriti serta kesetiaan kepada raja dan negara berlandaskan Sumpah Prajurit Komando.

Baginda bertitah pegawai dan anggota RGK perlu sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi memandangkan pasukan itu merupakan barisan hadapan dalam menghadapi sebarang ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *