Kerajaan Terbuka Pertimbang Komponen GST Bagi Tambah Baik Pelaksanaan SST
KUALA LUMPUR – Kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan beberapa komponen dalam sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi menambah baik pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), namun tidak akan mengembalikan prinsip asas GST sebagai cukai menyeluruh.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang penambahbaikan terhadap sistem percukaian perlu dilaksanakan secara teliti dan tidak menambah beban kepada golongan berpendapatan rendah serta miskin.
“Setiap prinsip itu mesti diteliti. Sama ada kita perlu membuat beberapa pelarasan dari segi kaedah dan proses bagi menambah baik pelaksanaan SST atau menggunakan beberapa komponen GST, sudah tentu kita boleh pertimbangkan.
“Namun, prinsip teras Kerajaan MADANI adalah untuk tidak meningkatkan cukai terhadap golongan paling miskin. Oleh itu, GST sebagai satu prinsip tidak boleh dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan TikTok Shop 2026 di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata prinsip asas GST tidak sesuai untuk dilaksanakan semula kerana sifatnya sebagai cukai menyeluruh yang turut memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan akan terus meneliti kaedah dan mekanisme yang bersesuaian bagi memperkukuh sistem percukaian negara, termasuk melakukan penambahbaikan terhadap pelaksanaan SST tanpa mengenakan beban tambahan kepada golongan yang kurang berkemampuan.
