Tempoh Sah Laku Pasport Malaysia Diseragam Maksimum 10 Tahun
PUTRAJAYA – Tempoh sah laku Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) diseragamkan kepada maksimum 10 tahun berkuat kuasa serta-merta bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia ketika melakukan perjalanan ke luar negara.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata keputusan itu susulan beberapa pemegang PMA yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun menghadapi masalah ketika melakukan pendaftaran masuk dengan syarikat penerbangan tertentu di luar negara.
“Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengambil maklum isu tular berhubung kesulitan perjalanan yang dialami pemegang PMA terbabit.
“JIM telah merujuk perkara ini kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan maklum balas yang diterima tidak menghalang pelaksanaan tempoh sah laku PMA melebihi 10 tahun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zakaria berkata bagaimanapun, kekeliruan timbul apabila beberapa pemegang PMA dengan tempoh sah laku melebihi 10 tahun berdepan masalah ketika proses pendaftaran masuk dengan syarikat penerbangan tertentu di luar negara.
“Bagi menangani kekeliruan berkenaan, JIM menetapkan tempoh sah laku maksimum bagi PMA adalah 10 tahun sahaja,” katanya.
Beliau berkata penetapan itu bertujuan menyeragamkan tempoh sah laku PMA selain mengelakkan kekeliruan berhubung keperluan tambahan tempoh sah laku enam bulan yang ditafsirkan secara berbeza oleh sesetengah syarikat penerbangan.
“Berkuat kuasa serta-merta, tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan dihentikan sehingga isu ini diselesaikan dengan pihak syarikat penerbangan dan ICAO,” katanya.
Dalam pada itu, Zakaria berkata pemegang PMA sedia ada yang mempunyai tempoh sah laku melebihi 10 tahun akan diberikan penggantian pasport secara percuma dengan tempoh sah laku maksimum 10 tahun.
Beliau berkata pemegang PMA yang terlibat turut diberikan keutamaan dalam urusan penggantian pasport.
