Kilang pasang Jalur Gemilang terbalik rupanya tidak berlesen
ISKANDAR PUTERI: Sebuah premis perindustrian di Taman Perindustrian SILC di sini bukan sahaja dikesan memasang Jalur Gemilang dan bendera Johor secara terbalik, malah didapati beroperasi tanpa lesen perniagaan yang sah.
Perkara itu terbongkar selepas Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) menjalankan pemeriksaan susulan aduan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berhubung pemasangan kedua-dua bendera berkenaan.
Pemeriksaan turut disertai Pandak dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurut MBIP, pemilik premis diberikan amaran tegas serta diarahkan menurunkan dan membetulkan kedudukan bendera terbabit dengan serta-merta.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai lesen perniagaan MBIP yang sah.
Susulan itu, MBIP mengeluarkan Notis Henti Niaga terhadap premis terbabit kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Satu lagi kompaun turut dikeluarkan berikutan kesalahan mempamerkan papan iklan tanpa lesen MBIP.
Premis berkenaan kemudian diarahkan menghentikan operasi dan ditutup kerana gagal mematuhi keperluan pelesenan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.
Dalam pemeriksaan sama, MBIP mendapati terdapat 14 pekerja di premis berkenaan, terdiri daripada dua warga tempatan dan 12 warga asing.
Kesemua 12 warga asing itu ditahan sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri bagi membantu siasatan berhubung status permit pekerjaan masing-masing.
MBIP menegaskan pihaknya memandang serius sebarang ketidakpatuhan terhadap undang-undang dan peraturan, termasuk berkaitan pelesenan premis serta tatacara pemasangan dan penghormatan terhadap bendera kebangsaan dan negeri.
Menurut MBIP, Jalur Gemilang dan Bendera Negeri Johor merupakan lambang kedaulatan, identiti serta maruah yang wajib dihormati.
Pihak berkuasa tempatan itu turut menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan di bawah bidang kuasanya.
Pemantauan dan tindakan susulan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.
