ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Dunia

Robot Humanoid Bu Sunaidah Selamat ‘Berkahwin’ Dengan Moza

DUBAI – Robot humanoid terkenal di Dubai, Bu Sunaidah, sekali lagi mencuri perhatian apabila dipaparkan “berkahwin” dengan sebuah lagi robot humanoid, Moza, menerusi satu majlis simbolik yang dikongsikan syarikat pengendalinya baru-baru ini.

Menurut laporan Gulf News, majlis berkenaan memaparkan Bu Sunaidah mengenakan abaya hitam berkemasan emas, manakala beberapa individu berpakaian tradisional Emiriah Arab Bersatu (UAE), kandora, dilihat mengiringi acara tersebut.

Perkongsian video itu menerima sambutan meluas di media sosial dengan lebih 41,000 tanda suka, 2,300 komen dan kira-kira 109,000 perkongsian dalam tempoh tiga hari, sekali gus menjadi antara kandungan paling popular membabitkan robot berkenaan.

Bu Sunaidah merupakan robot humanoid Unitree G1 yang dibangunkan bagi tujuan penyelidikan, pendidikan dan demonstrasi interaktif.

Robot itu dikenali menerusi kandungan berkaitan budaya, tradisi dan acara awam di UAE, selain dibangunkan oleh Kumpulan SS Lootah di bawah pimpinan Yousif Lootah, yang turut sering tampil bersama robot itu dalam pelbagai program.

Populariti Bu Sunaidah semakin meningkat selepas kemunculannya bersama Perdana Menteri UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum, berhampiran Emirates Towers sebelum menjadi antara tarikan utama dalam beberapa acara berprofil tinggi termasuk forum “Make it in the Emirates” di Abu Dhabi pada Jun lalu.

Pada pertengahan tahun ini, robot itu turut menjadi tular apabila rakaman video memaparkannya seolah-olah menyertai jemaah menunaikan solat Aidiladha di sebuah masjid di Dubai, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial.

Ini bukan kali pertama acara melibatkan robot mencuri perhatian di Dubai. Tahun lalu, pempengaruh teknologi dari Iraq, Ali Assem, turut mengadakan majlis perkahwinan olok-olok dengan aplikasi kecerdasan buatan ChatGPT berhampiran Burj Khalifa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *