ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Calon SPM Jadi Mangsa Buli Seksual Dalam Talian, Sebar Poster Unsur Lucah

KUALA LUMPUR – Seorang ibu merayu agar pihak berkuasa mempercepatkan siasatan selepas anak perempuannya yang juga calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa menjadi mangsa buli seksual dalam talian dan penyebaran bahan berunsur lucah yang menggunakan identitinya.

Wanita berusia 46 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Nur berkata, anak keduanya yang berusia 17 tahun kini berdepan tekanan emosi selepas wajah, nama, kelas serta nombor telefonnya didakwa disebarkan menerusi poster berunsur lucah dan akaun media sosial palsu sejak April lepas.

Beliau berkata, kejadian itu pada mulanya dipercayai berlaku di sekolah anaknya di daerah Seberang Perai Tengah (SPT), sebelum bahan berkenaan didakwa tersebar ke beberapa sekolah lain apabila poster tersebut ditemukan di dalam raga motosikal pelajar.

“Kami hanya mengetahui poster itu telah tersebar ke sekolah lain semalam selepas anak menerima mesej daripada individu yang meminta video lucah seperti yang didakwa dalam poster berkenaan.

“Sebagai ibu, saya amat bimbang terhadap keselamatan dan keadaan emosi anak. Pada mulanya kejadian hanya berlaku di sekolah, tetapi kini sudah merebak ke luar,” katanya ketika ditemui hari ini.

Menurut Nur, anaknya mengalami tekanan emosi, sering menangis dan berasa malu untuk hadir ke sekolah selepas wajahnya didakwa disunting pada imej lucah yang disebarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Beliau berkata, walaupun keluarga sentiasa memberi sokongan dan semangat kepada anaknya, mereka bimbang tekanan yang dialami boleh memberi kesan terhadap emosi serta persediaannya menghadapi peperiksaan SPM.

Nur berkata, anaknya telah membuat tiga laporan polis berhubung kejadian itu masing-masing pada April, Jun dan laporan terbaharu semalam, namun mendakwa masih belum menerima perkembangan memuaskan mengenai siasatan.

Beliau turut mempersoalkan mengapa individu yang bertanggungjawab masih belum dikenal pasti sedangkan kawasan sekolah dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV), selain mendakwa poster berkenaan ditampal di beberapa lokasi termasuk kantin, bilik mesyuarat, papan kenyataan dan kaki lima sekolah.

Selain membuat laporan polis, Nur berkata beliau dan suaminya turut mengemukakan aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini selepas mengesan beberapa akaun media sosial palsu yang menggunakan wajah serta imej suntingan anak mereka.

Beliau percaya tindakan tegas perlu diambil bagi mengelakkan perbuatan itu terus berulang dan menjejaskan mangsa.

“Saya tidak pasti motif sebenar, sama ada disebabkan perasaan cemburu kerana anak saya bekerja sebagai model sambilan atau faktor lain.

“Saya cuma mahu perkara ini dihentikan. Jangan ganggu lagi anak saya. Dia calon SPM dan saya tidak mahu masa depan serta emosinya terus terjejas akibat perbuatan tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Beliau turut berharap pihak polis, Kementerian Pendidikan (KPM) dan MCMC dapat mempercepatkan siasatan bagi mengenal pasti individu yang bertanggungjawab kerana kes itu membabitkan maruah, emosi dan keselamatan anaknya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *