Zahid Persembah 3 Nama Calon MB Negeri Sembilan Kepada Tuanku Muhriz
SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) malam ini mengemukakan tiga nama kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, untuk dipertimbangkan sebagai calon Menteri Besar susulan kemenangan gabungan BN dan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap atas titah baginda bagi mempersembahkan senarai calon berkenaan.
“Saya baru selesai menghadap Duli Tuanku Yang di-Pertuan Besar dan kami mengadakan perbincangan yang panjang lebar.
“Saya telah mempersembahkan warkah secara rasmi kepada Tuanku, termasuk mengemukakan tiga nama untuk pertimbangan baginda,” katanya kepada pemberita selepas selesai menghadap, awal pagi ini.
Ahmad Zahid meninggalkan Istana Hinggap kira-kira 12.40 tengah malam dengan menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).
Turut hadir ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Beliau berkata, keputusan mengenai pelantikan Menteri Besar kini terserah kepada kebijaksanaan dan budi bicara Tuanku Muhriz.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid enggan mendedahkan identiti tiga calon yang dikemukakan, namun mengesahkan kesemua mereka adalah daripada BN.
Mengulas mengenai bila pengumuman pelantikan Menteri Besar akan dibuat, beliau berkata perkara itu akan diumumkan oleh pihak istana pada masa yang sesuai.
Sementara itu, Ahmad Zahid berpandangan pengosongan Kediaman Rasmi Menteri Besar tidak wajar dilakukan secara tergesa-gesa.
“Pada hemat saya, berilah sedikit masa. Mereka juga sahabat-sahabat kita. Kita perlu ada nilai kemanusiaan dan menjaga tata etika dalam setiap tindakan yang diambil,” katanya.
