Datuk-Datuk Lembaga Luak Jelebu Dakwa Mesyuarat Khas DKU Tidak Sah
KUALA LUMPUR – Datuk-Datuk Lembaga Luak Jelebu hari ini mendakwa Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang (DKU) yang dijadual berlangsung pada 4 petang tidak sah di sisi undang-undang serta tidak mempunyai sebarang kesan perundangan.
Mewakili Datuk-Datuk Lembaga Delapan dan Ibu-Ibu Soko, Dato’ Menteri Sah Mangku Alam Raja Sari Mohamad Azmi Abdul Aziz berkata mesyuarat khas itu dipanggil menerusi notis bertarikh 30 Julai 2026 yang disampaikan kepada Yang Teramat Mulia Undang Luak Johol dan Yang Teramat Mulia Tengku Besar Tampin pada lewat petang semalam.
Beliau mendakwa Datuk Undang Luak Jelebu ke-16, Datuk Mendika Menteri Akhir Zaman Datuk Ma’ruf Mak Rasad, tidak dijemput menghadiri mesyuarat berkenaan.
Menurut Mohamad Azmi, agenda mesyuarat adalah bagi mendengar aduan berkaitan Luak Jelebu dan beliau percaya perkara itu akan menjurus kepada cadangan pemecatan Ma’ruf sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.
“Kami percaya mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang hari ini akan menasihatkan supaya saranan pemecatan itu diterima dan disahkan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau turut mendakwa beberapa individu yang telah dipecat sebagai ibu soko dan buapak di Luak Jelebu akan dijemput hadir bagi membentangkan tuduhan terhadap Ma’ruf.
Mohamad Azmi berkata tindakan itu didakwa menggunakan kaedah sama yang pernah berlaku ketika Mesyuarat Khas Dewan Keadilan dan Undang pada 17 April lepas yang menurutnya mengesahkan pemecatan Yang Teramat Mulia Undang Luak Sungai Ujong.
Selain itu, beliau mendakwa dua Undang baharu bagi Luak Sungai Ujong dan Luak Rembau yang belum disahkan kedudukan mereka melalui mesyuarat DKU dijangka turut menghadiri mesyuarat berkenaan.
Katanya, kehadiran mereka akan menyebabkan korum mesyuarat tidak memenuhi syarat seperti diperuntukkan di bawah Perkara 17 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Keadaan itu menyebabkan mesyuarat Dewan Keadilan dan Undang tidak boleh dijalankan mengikut Perkara 20 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
“Oleh itu, apa juga keputusan yang bakal dibuat adalah tidak berperlembagaan, tidak mempunyai kesan undang-undang dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau turut mendakwa kerajaan Negeri Sembilan kini berstatus kerajaan sementara (caretaker) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), justeru tidak seharusnya membuat sebarang keputusan besar sehingga kerajaan baharu dibentuk selepas 1 Ogos.
Dalam pada itu, Mohamad Azmi berkata pihaknya turut merujuk kepada Perintah Injunksi Mahkamah Tinggi Seremban bertarikh 5 Jun lepas yang didakwa menghalang kesemua empat Undang, Tengku Besar Tampin dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong daripada menjalankan peranan sebagai anggota Dewan Keadilan dan Undang.
Sehubungan itu, beliau mendakwa tindakan memanggil mesyuarat khas berkenaan bercanggah dengan perintah mahkamah yang masih berkuat kuasa.
Datuk-Datuk Lembaga Luak Jelebu turut menegaskan sokongan mereka terhadap Ma’ruf Mak Rasad sebagai Undang Luak Jelebu ke-16.
Mereka juga berpendirian bahawa sebarang keputusan berkaitan kedudukan Undang Luak Jelebu yang dibuat oleh mana-mana pihak selain Datuk-Datuk Lembaga Luak Jelebu yang sah adalah tidak sah serta terbatal mengikut adat dan undang-undang.
Setakat ini, tiada maklum balas diperoleh daripada pihak Dewan Keadilan dan Undang atau Kerajaan Negeri Sembilan berhubung dakwaan yang dibangkitkan.
