Malaysia Berhasrat Jadi Tuan Rumah Piala Dunia FIFA – Zahid
BANGI – Malaysia berhasrat untuk muncul sebagai tuan rumah Piala Dunia FIFA pada masa hadapan, selain menyasarkan skuad Harimau Malaya layak beraksi di pentas bola sepak paling berprestij dunia itu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, impian tersebut bukan sekadar untuk menganjurkan kejohanan berkenaan, malah mahu melihat Malaysia menjadi antara wakil Asia Tenggara yang beraksi di Piala Dunia.
“Insya-Allah, suatu hari nanti kita bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai tuan rumah Piala Dunia.
“Mudah-mudahan ketika itu pasukan Malaysia juga berjaya layak dan menjadi antara wakil Asia Tenggara dalam kejohanan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program tayangan skrin gergasi perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 antara Argentina dan Sepanyol serta program Semarak Subuh di Bangi Square 2, di sini, hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, ranking Harimau Malaya turut menunjukkan peningkatan apabila naik dua anak tangga ke kedudukan ke-136 dunia berdasarkan kemas kini terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), berbanding kedudukan ke-138 sebelum ini.
Ratusan penyokong bola sepak membanjiri Bangi Square 2 bagi menyaksikan aksi final yang menemukan juara bertahan Argentina dan Sepanyol.
Program berkenaan turut dimeriahkan dengan sesi Borak Bola yang menampilkan legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan, Mohd Farizal Marlias dan Mohamad Zaquan Adha Abdul Radzak, manakala sesi itu dikendalikan oleh Hafizal Hamad.
Selepas tamat perlawanan, Ahmad Zahid dijadual menyertai program Semarak Subuh di Surau Al-Hamidiah sebagai penutup acara.
