‘Kubu Nuklear’ Bawah Tanah Iran Gusarkan Trump
KETEGANGAN antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran kembali memuncak apabila Presiden AS, Donald Trump dilaporkan mengeluarkan amaran untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap sebuah kompleks nuklear bawah tanah Iran yang dikenali sebagai Kuh-e Kolang Gaz La, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu mengenai risiko konflik lebih besar di Asia Barat.
Kompleks berkenaan, yang sering dirujuk oleh media Barat sebagai “Pickaxe Mountain“, dipercayai terletak di wilayah Isfahan, kira-kira 1.5 kilometer dari kemudahan pengayaan uranium Natanz.
Ia dianggap antara kemudahan paling sukar ditembusi dalam program nuklear Iran kerana dibina jauh di bawah permukaan gunung serta dilindungi lapisan batu granit yang tebal.

Beberapa sumber yang rapat dengan pihak berkuasa Iran dilaporkan memberi amaran bahawa Teheran akan memberikan tindak balas sekiranya sebarang serangan dilancarkan terhadap kemudahan berkenaan.
Menurut laporan media antarabangsa, Washington terus memantau perkembangan di kompleks tersebut walaupun tiada petunjuk jelas mengenai aktiviti semasa di lokasi berkenaan.
Trump turut dilaporkan mendakwa AS tidak menolak kemungkinan melancarkan serangan terhadap pintu masuk terowong kompleks itu.
Pemerhati bagaimanapun berpendapat sebarang operasi ketenteraan terhadap fasiliti berkenaan bukanlah mudah memandangkan struktur pertahanannya yang kukuh.
Berdasarkan anggaran teknikal yang pernah diterbitkan beberapa badan penyelidikan, dewan-dewan bawah tanah kompleks itu dibina pada kedalaman sekitar 80 hingga 100 meter, dengan beberapa bahagian dipercayai mencecah sehingga 600 meter di bawah permukaan.
Kedalaman itu menjadikan kompleks tersebut jauh lebih terlindung berbanding kemudahan pengayaan uranium Fordow, sekali gus menyebabkan ia digambarkan oleh sesetengah penganalisis sebagai antara aset strategik paling penting dalam program nuklear Iran.
Pembangunan kompleks berkenaan dilaporkan dipercepatkan selepas letupan yang berlaku di kemudahan Natanz pada 2020 yang menjejaskan dewan pemasangan emparan canggih.
Susulan insiden itu, sebahagian operasi sensitif dipercayai dipindahkan ke kemudahan bawah tanah bagi meningkatkan tahap perlindungan.
Pada 2021, Ketua Pertubuhan Tenaga Atom Iran (AEOI) ketika itu, Ali Akbar Salehi, mengumumkan bahawa Iran sedang membina beberapa dewan baharu jauh di dalam gunung bagi melindungi rantaian pengeluaran emparan negara itu.
Laporan oleh beberapa badan pemikir antarabangsa, termasuk Pusat Penyelidikan Strategik dan Antarabangsa (CSIS) serta Institut bagi Sains dan Keselamatan Antarabangsa (ISIS), turut menyatakan kerja-kerja pembinaan di kawasan tersebut merangkumi pengukuhan perimeter keselamatan, pembinaan struktur konkrit di pintu masuk terowong serta aktiviti penggalian yang berterusan.
Menurut penganalisis, langkah-langkah itu menunjukkan usaha Iran memperkukuh perlindungan terhadap kemudahan strategiknya.
Dalam masa sama, perkembangan itu turut berlaku ketika isu keselamatan di Selat Hormuz terus menjadi perhatian antarabangsa.
Sebarang peningkatan ketegangan di kawasan berkenaan berpotensi menjejaskan laluan perdagangan minyak utama dunia, sekali gus memberi kesan kepada pasaran tenaga global.
Pemerhati berpendapat sebarang tindakan ketenteraan terhadap kemudahan nuklear Iran berisiko mencetuskan konflik yang lebih luas dan memburukkan lagi ketidakstabilan yang sedang melanda Asia Barat.
