34 MP Sokong Penubuhan RCI Siasat Dakwaan ‘Mafia Korporat’ Babitkan SPRM
PETALING JAYA – Seramai 34 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang menyatakan sokongan terhadap cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kewujudan “mafia korporat” yang didakwa membabitkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta bekas Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Muhammad Faisal Abdul Aziz, yang mewakili Sekretariat RCI Now berkata, sokongan itu diperoleh selepas sekretariat mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen sepanjang tiga hari lalu.
Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, lapan Ahli Parlimen mewakili PKR, tujuh daripada DAP, dua daripada Parti Amanah Negara (AMANAH) dan seorang daripada UMNO.
Menurutnya, sekretariat yang dianggotai 51 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) masih belum sempat menghubungi kesemua 222 Ahli Parlimen berikutan kekangan masa dan sumber.
“Kami akan memberi tempoh selama 14 hari bermula hari ini hingga 30 Julai kepada semua Ahli Parlimen untuk memberikan maklum balas selepas memorandum dihantar melalui e-mel.
“Senarai penuh Ahli Parlimen yang menyokong cadangan penubuhan RCI akan diumumkan pada 3 Ogos berdasarkan maklum balas yang diterima,” katanya pada sidang media hari ini.
Antara Ahli Parlimen AMANAH yang menyatakan sokongan ialah Mohd Sany Hamzan (Hulu Langat) dan Azli Yusof (Shah Alam).
Bagi DAP, sokongan diberikan oleh Syahredzan Johan (Bangi), Howard Lee (Ipoh Timor), Young Syefura Othman (Bentong), Syerleena Abdul Rashid (Bukit Bendera), Vivian Wong (Sandakan), Teresa Kok (Seputeh) dan Khoo Poay Tiong (Kota Melaka).
Lapan Ahli Parlimen PKR yang menandatangani memorandum itu ialah Wong Chen (Subang), Prabakaran Parameswaran (Batu), Hassan Abdul Karim (Pasir Gudang), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), Kesavan Subramaniam (Sungai Siput), Rodziah Ismail (Ampang) dan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).
Daripada UMNO, Ahli Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Mokhtar, turut menyatakan sokongan.
Turut menyokong ialah Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan (Keningau) serta Ahli Parlimen Tuaran daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Dr Wilfred Madius Tangau.
Dalam kalangan Ahli Parlimen PAS, sokongan diberikan oleh Mohd Hasnizan Harun (Hulu Selangor), Dr Halimah Ali (Kapar), Mohd Misbahul Munir (Parit Buntar), Wan Razali Wan Nor (Kuantan), Datuk Awang Hashim (Pendang), Afnan Hamimi Taib Azamudden (Alor Setar), Mohd Syahir Che Sulaiman (Bachok), Datuk Ahmad Saad @ Yahaya (Pokok Sena) dan Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (Pasir Puteh).
Turut menandatangani memorandum tersebut ialah Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), Datuk Azman Nasrudin (Padang Serai), Datuk Mohd Suhaimi Abdullah (Langkawi), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu) dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal (Machang).
Muhammad Faisal berkata, sokongan merentas parti amat penting bagi menunjukkan komitmen semua Ahli Parlimen dalam mempertahankan integriti institusi negara serta memastikan tiada mana-mana individu atau institusi kebal daripada tindakan undang-undang.
Menurut beliau, penubuhan RCI perlu dilaksanakan bagi membolehkan semua dakwaan disiasat secara bebas, telus dan menyeluruh, selain memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
“Kegagalan kerajaan mendedahkan dapatan jawatankuasa khas yang menyiasat isu pemilikan saham Tan Sri Azam Baki hanya mengukuhkan persepsi bahawa terdapat usaha menyembunyikan perkara yang berkepentingan awam,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif BERSIH, Asraf Sharafi berkata, sekretariat menyasarkan sokongan sekurang-kurangnya 112 Ahli Parlimen sebagai petunjuk bahawa cadangan penubuhan RCI mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang memaklumkan kerajaan terbuka untuk mempertimbangkan penubuhan RCI atau mekanisme lain sekiranya didapati perlu demi kepentingan awam.
Seorang lagi wakil sekretariat, Wong Kueng Hui, berkata Ahli Parlimen Putatan, Datuk Shahelmey Yahya, secara terbuka memaklumkan beliau tidak menyokong cadangan tersebut.
Menurutnya, Shahelmey berpandangan BERSIH sebelum ini pernah mengkritik beliau, sekali gus menyebabkan beliau tidak cenderung menyokong penubuhan RCI.
Dalam pada itu, Asraf berkata beberapa Ahli Parlimen yang ditemui masih memerlukan masa untuk mendapatkan pandangan parti masing-masing sebelum membuat keputusan berhubung memorandum tersebut.
Katanya, memorandum berkenaan telah diserahkan kepada Parlimen sejak dua minggu lalu dan usaha mendapatkan sokongan akan diteruskan sehingga tamat tempoh yang ditetapkan.
