ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

PRN N9: Harapan Tengok KJ Jadi MB Belum Kesampaian, Nama Tidak Tersenarai

SEREMBAN – Harapan penyokong Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk melihat beliau kembali bertanding dalam pilihan raya, sekali gus diangkat sebagai calon Menteri Besar Negeri Sembilan, tidak menjadi kenyataan apabila namanya tidak tersenarai dalam pengumuman calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Senarai calon BN yang diumumkan pada Rabu malam itu sekali gus menamatkan spekulasi bahawa bekas Ahli Parlimen Rembau berkenaan akan kembali ke gelanggang politik sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas.

Sebelum ini, Khairy sering disebut-sebut sebagai antara tokoh yang berpotensi menjadi ‘poster boy’ BN pada PRN kali ini kerana dilihat mampu menarik sokongan pengundi muda, selain dikatakan mempunyai pakej lengkap untuk menerajui pentadbiran negeri.

Spekulasi itu semakin hangat selepas beliau diterima semula menyertai UMNO pada April lalu dan kembali aktif dalam pelbagai program politik termasuk membantu kempen BN pada PRN Johor baru-baru ini.

Khairy, yang pernah menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan serta Menteri Kesihatan, bagaimanapun belum pernah bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri sepanjang karier politiknya.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12, ke-13 dan ke-14 sebelum mengosongkan kerusi tersebut pada PRU15 bagi memberi laluan kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pada PRU15, Khairy bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh, namun tewas kepada calon Pakatan Harapan, Datuk R. Ramanan.

Sebelum ini, Khairy menyatakan beliau lebih selesa berperanan sebagai jentera parti bagi membantu kempen BN pada PRN Negeri Sembilan, namun menegaskan akan akur dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh kepimpinan parti.

Sementara itu, BN mengumumkan seramai 25 calon daripada keseluruhan 36 kerusi DUN yang akan ditandingi pada PRN Negeri Sembilan kali ini, membabitkan 16 calon UMNO, tujuh MCA dan dua MIC.

Pengerusi BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan, kekal mempertahankan kerusi DUN Rantau, manakala Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias, terus bertanding di DUN Pertang.

Selain itu, 10 lagi penyandang daripada UMNO turut diberi kepercayaan mempertahankan kerusi masing-masing.

BN turut menyaksikan beberapa perubahan apabila Datuk Ismail Lasim dipindahkan daripada DUN Senaling ke DUN Juasseh selepas penyandang kerusi itu, Datuk Bibi Sharliza Mohd Khalid, tidak dicalonkan semula.

Tiga muka baharu UMNO turut diumumkan sebagai calon, iaitu Mohamad Qayyum Abd Jalil di DUN Senaling, Siti Nur Umaira Hasim di DUN Labu dan S. Leza Md Yasin di DUN Pilah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *