Sultan Selangor Terima Menghadap Presiden Singapura Di Istana Alam Shah
KLANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima menghadap Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam, di Istana Alam Shah pada Selasa sempena Lawatan Negara pemimpin republik itu ke Malaysia.
Tharman yang tiba kira-kira jam 11 pagi disambut Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Turut hadir mengiringi lawatan itu ialah Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim, selaku Menteri Pengiring.
Sesi menghadap yang berlangsung hampir satu setengah jam itu berakhir sekitar jam 12.40 tengah hari sebelum Tharman berangkat meninggalkan Istana Alam Shah.
Presiden Singapura itu sedang mengadakan Lawatan Negara selama tiga hari ke Malaysia bermula 13 hingga 15 Julai atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Menurut Kementerian Luar, lawatan berkenaan merupakan kunjungan balas selepas Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024.
Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global, selain terus menjadi rakan dagang terbesar negara dalam kalangan anggota ASEAN.
