Khairy dijangka bertanding di DUN Gemas, BN belum buat pengumuman rasmi
Khairy Dijangka Bertanding di DUN Gemas, BN Belum Buat Pengumuman Rasmi
SEREMBAN – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas dijangka menjadi antara tumpuan utama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan apabila timbul spekulasi bahawa bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin, bakal dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN).
Menurut sumber, penyertaan Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ dilihat mampu memberi suntikan baharu kepada kempen BN, selain meningkatkan peluang gabungan itu untuk meraih kemenangan di Negeri Sembilan.
Khairy, yang berasal dari Negeri Sembilan dan pernah memimpin Pemuda UMNO, dikatakan mempunyai pengaruh tersendiri untuk membantu BN dan UMNO mengukuhkan kembali kedudukan mereka dalam pentadbiran negeri.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang pengesahan rasmi mengenai pencalonannya. Sumber memaklumkan segala spekulasi itu hanya akan terjawab selepas BN mengumumkan senarai calon bagi PRN Negeri Sembilan.
“Kita tunggu pengumuman rasmi calon BN. Semuanya akan terjawab pada hari pengumuman itu,” kata sumber. (Utusan Malaysia)
Sebelum ini, Khairy dilaporkan telah kembali menyertai UMNO selepas dipecat beberapa tahun lalu dan turut aktif membantu kempen BN dalam beberapa pilihan raya. Walaupun pernah menyatakan beliau lebih selesa berperanan sebagai jentera parti berbanding bertanding, Khairy menegaskan keputusan akhir bergantung kepada pucuk pimpinan parti.
Dalam perkembangan sama, terdapat juga pihak dalam UMNO yang menafikan dakwaan bahawa Khairy akan bertanding di DUN Gemas dan menyifatkan perkara itu sebagai spekulasi semata-mata.
