ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

RUU Komunikasi Dan Multimedia Kukuh Perkhidmatan Sejagat Dibentang Bacaan Kali Pertama

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 yang bertujuan memperkukuh rangka kerja pemberian perkhidmatan sejagat dengan memasukkan elemen keselamatan negara, dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada Isnin.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, RUU berkenaan akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Menurut teks RUU itu, pindaan dicadangkan terhadap Seksyen 202 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), termasuk memasukkan subseksyen baharu 202(1A) dan 202(1B).

Cadangan itu bertujuan memberi kuasa kepada Menteri untuk mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyokong pelaksanaan inisiatif pemberian perkhidmatan sejagat kebangsaan yang melibatkan penggunaan perkhidmatan rangkaian, perkhidmatan aplikasi atau kedua-duanya demi kepentingan keselamatan negara.

RUU itu turut memperuntukkan bahawa inisiatif berkenaan boleh merangkumi pemasangan kemudahan rangkaian serta penyediaan perkhidmatan rangkaian dan aplikasi bagi tujuan pemeliharaan keselamatan negara.

Penentuan sama ada sesuatu inisiatif berkaitan kepentingan keselamatan negara akan dibuat oleh Majlis Keselamatan Negara mengikut Seksyen 4 Akta Majlis Keselamatan Negara 2016.

Menurut RUU tersebut, kategori baharu itu dicadangkan bagi mewujudkan rangka kerja pemberian perkhidmatan sejagat yang lebih menyeluruh, selaras dengan perkembangan industri komunikasi dan multimedia, kemajuan teknologi serta keperluan semasa negara dari aspek keselamatan.

Selain itu, semua inisiatif yang dilaksanakan di bawah peruntukan baharu itu perlu selaras dengan objektif Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

RUU berkenaan turut mencadangkan pindaan terhadap subseksyen 202(2) bagi membolehkan Menteri menggubal peraturan di bawah Seksyen 16 Akta 588 berkaitan pelaksanaan inisiatif pemberian perkhidmatan sejagat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *