Jangan Positif Sangat, PAS Boleh Tukar ‘Goal Post’ Bila-Bila Masa – Zahid
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan tiada sebarang rundingan rasmi diadakan antara UMNO dan PAS berhubung kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Mengulas kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mendakwa parti itu sedang mengadakan rundingan dengan UMNO, Ahmad Zahid mengingatkan supaya semua pihak tidak terlalu cepat membuat andaian.
“Jangan terlalu positif dengan PAS. Mereka boleh ubah ‘goal post‘ pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau berkata, sebarang kenyataan yang dikeluarkan tidak semestinya menggambarkan keadaan sebenar.
“Apa yang dinyatakan itu tidak semestinya tepat. Kalaupun ada perbincangan, ia sekadar bertukar pandangan dan bukan sesuatu yang memuktamadkan sebarang kerjasama politik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Amanat Bersama Kontinjen TVET@KKDW ke WorldSkills Shanghai 2026 di sini, pada Isnin.
Pada masa sama, Timbalan Perdana Menteri itu mengingatkan pengalaman lalu, khususnya ketika PRN Johor, menunjukkan landskap politik boleh berubah dalam tempoh singkat.
“Jangan terlalu berpegang kepada kenyataan PAS kerana mereka boleh berubah. Banyak parti sebelum ini pernah melalui pengalaman sedemikian,” katanya.
Sebelum ini, Abdul Hadi dilaporkan berkata PAS sedang mengadakan usaha ke arah mewujudkan kerjasama politik dengan UMNO bagi memastikan Negeri Sembilan diterajui kerajaan Melayu-Islam selepas PRN.
Beliau turut menyifatkan perbincangan yang berlangsung setakat ini sebagai positif.
Kenyataan itu dibuat selepas melancarkan kempen ‘Nismilan Kito Jago’ dan menghadiri majlis kutipan dana PAS Negeri Sembilan, semalam.
