ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

“Bella Layak Jadi Menantu Saya” – Ibu Syed Saddiq

PUTRAJAYA – Ibu kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz meluahkan rasa syukur apabila keluarganya kini boleh menumpukan sepenuh perhatian terhadap persiapan perkahwinan anaknya bersama penyanyi dan pelakon, Bella Astillah.

Menurut beliau, segala persiapan sebelum ini sengaja ditangguhkan kerana mahu menunggu keputusan kes mahkamah yang membabitkan Syed Saddiq.

“Kami memang belum membuat sebarang persiapan kerana mahu menunggu keputusan hari ini. Setiap kali orang bertanya bila majlis akan diadakan, saya memilih untuk tidak memberikan jawapan.

“Kalau keputusan hari ini tidak memihak kepada Syed Saddiq, sudah tentu keadaan akan menjadi berbeza. Saya tidak mahu mengecewakan keluarga sebelah sana,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan pihak pendakwaan terhadap pembebasan Syed Saddiq pada Isnin.

Sharifah Mahani berkata, keputusan itu memberi kelegaan kepada seluruh keluarga untuk memulakan persiapan majlis yang dijangka berlangsung pada penghujung tahun ini.

“Sekarang barulah kami boleh mula membuat persiapan sepenuhnya. Sebelum ini memang tiada semangat kerana fikiran hanya tertumpu kepada kes mahkamah yang sudah berlarutan sekian lama.

“Alhamdulillah, kini kami boleh memberikan tumpuan kepada kebahagiaan mereka,” katanya.

Beliau turut mengakui terlalu tertekan menjelang keputusan mahkamah sehingga sukar tidur dan hilang selera makan.

“Memang saya tidak dapat tidur dan langsung tiada selera makan kerana terlalu memikirkan keputusan hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, Sharifah Mahani turut menzahirkan penghargaan terhadap Bella yang disifatkannya sentiasa setia menemani Syed Saddiq sepanjang tempoh berdepan cabaran perundangan.

Menurutnya, bukan mudah untuk seseorang menerima keadaan yang dilalui anaknya sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saya sering tertanya-tanya sama ada Syed Saddiq akan bertemu seorang pasangan yang sanggup melalui semua dugaan ini bersamanya. Alhamdulillah, Bella memilih untuk terus berada di sisinya.

“Saya melihat sendiri bagaimana Bella berjuang bersama-sama Syed Saddiq, mencari rezeki dan memberikan sokongan ketika dia melalui tempoh yang sukar.

“Orang yang mampu membawa kegembiraan kepada anak saya, dialah yang saya anggap layak menjadi menantu,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *