EC Dakwa Reka Bentuk Facebook, Instagram Galak Penggunaan Berlebihan
BRUSSELS – Suruhanjaya Eropah (EC) mendapati secara awal bahawa Facebook dan Instagram berkemungkinan melanggar Akta Perkhidmatan Digital (DSA) susulan reka bentuk kedua-dua platform yang didakwa menggalakkan penggunaan media sosial secara berlebihan.
Menurut dapatan awal EC, beberapa ciri utama seperti tatalan tanpa henti (infinite scroll), mainan video automatik (autoplay), sistem notifikasi dan cadangan kandungan yang diperibadikan berpotensi mendorong pengguna terus melayari platform tanpa had.
Lapor Amanz, EC turut berpandangan bahawa Meta gagal membuat penilaian yang mencukupi terhadap risiko algoritma platformnya terhadap kesejahteraan fizikal dan mental pengguna, khususnya remaja serta individu yang lebih terdedah kepada kesan penggunaan media sosial.
Suruhanjaya itu turut meneliti format kandungan seperti Reels dan Stories, yang didakwa boleh menyumbang kepada tabiat penggunaan berlebihan termasuk pada waktu malam dalam kalangan remaja.
Selain itu, EC berpendapat ciri kawalan masa penggunaan dan kawalan ibu bapa yang disediakan Meta masih belum mencukupi kerana mudah dipintas serta memerlukan masa, pengetahuan teknikal dan usaha yang tinggi untuk digunakan secara berkesan.
Bagi mengurangkan risiko berkenaan, EC mencadangkan Meta menambah baik reka bentuk platformnya, termasuk mematikan ciri autoplay dan infinite scroll secara lalai, memperkenalkan peringatan rehat skrin yang lebih berkesan serta mengubah sistem cadangan kandungan supaya tidak terlalu bergantung kepada penglibatan pengguna.
Meta kini diberi peluang untuk mengemukakan maklum balas dan pembelaan sebelum Suruhanjaya Eropah membuat keputusan muktamad.
Sekiranya dapatan awal itu disahkan, syarikat berkenaan berdepan denda sehingga enam peratus daripada jumlah perolehan tahunan globalnya.
Siasatan itu menambah tekanan kawal selia yang sedang dihadapi Meta di Eropah dan Amerika Syarikat susulan beberapa tindakan undang-undang berkaitan dakwaan kesan penggunaan media sosial terhadap golongan remaja dan pengguna muda.
