ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Presiden Singapura Diberikan Istiadat Sambutan Negara Di Istana Negara

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini berkenan menyempurnakan Istiadat Sambutan Negara bagi meraikan Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam, yang mengadakan Lawatan Negara sulung ke Malaysia sejak memegang jawatan pada September 2023.

Tharman bersama isteri, Jane Ittogi Shanmugaratnam, tiba di Istana Negara kira-kira jam 10 pagi dan disambut oleh Seri Paduka Baginda serta Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Turut hadir menyambut ketibaan delegasi Singapura ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Fadillah Yusof, serta barisan menteri Kabinet.

Istiadat di Padang Kawad Istana Negara dimulakan dengan nyanyian lagu kebangsaan Singapura dan Malaysia oleh Pancaragam Pusat Rejimen Askar Melayu Diraja, diikuti tembakan hormat 21 das.

Tharman kemudian memeriksa kawalan kehormat yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja, diketuai Mejar Mohd Masrur Hidayat Masri.

Istiadat diteruskan dengan sesi sembah kenal delegasi rasmi kedua-dua negara sebelum Presiden Singapura menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Sebagai sebahagian daripada lawatan itu, Tharman turut diraikan dalam Majlis Jamuan Negara yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

Presiden Singapura itu kini dalam rangka Lawatan Negara selama tiga hari ke Malaysia bermula 13 hingga 15 Julai atas jemputan Seri Paduka Baginda.

Menurut Kementerian Luar, lawatan berkenaan merupakan kunjungan balas kepada Lawatan Negara Sultan Ibrahim ke Singapura pada 6 dan 7 Mei 2024.

Kementerian itu turut memaklumkan Singapura kekal sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan rakan dagang terbesar negara dalam kalangan anggota ASEAN.

Pada 2025, nilai perdagangan dua hala Malaysia-Singapura mencecah RM402.35 bilion (AS$93.97 bilion), meningkat 1.5 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2026, perdagangan dua hala terus menunjukkan pertumbuhan kukuh sebanyak 14.5 peratus kepada RM189.90 bilion (AS$47.87 bilion), berbanding RM165.93 bilion (AS$37.65 bilion) bagi tempoh sama pada 2025.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *