Kes Tikam Rakan Sekolah: Suspek Tidak Puas Hati, Pendam Rasa Kerana Dibuli
SHAH ALAM – Polis percaya suspek kes tikaman di sebuah sekolah menengah di Banting bertindak kerana menyimpan perasaan tidak puas hati terhadap beberapa rakan sekolah yang didakwa pernah membulinya.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, bagaimanapun siasatan awal setakat ini tidak menemukan bukti yang mengesahkan dakwaan berlakunya kejadian buli terhadap suspek.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek memberi alasan dia menyimpan rasa tidak puas hati terhadap beberapa rakan sekolah yang didakwa membulinya.
“Bagaimanapun, keterangan yang diperoleh setakat ini tidak menjurus kepada berlakunya aktiviti buli seperti yang didakwa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.
Beliau berkata polis telah merakam percakapan ramai saksi termasuk 10 pelajar yang namanya tular di media sosial dan dikaitkan dengan kejadian itu.
Katanya, siasatan masih diteruskan dan belum dimuktamadkan.
“Saya mohon orang ramai memberi ruang kepada pegawai penyiasat untuk melengkapkan siasatan supaya kesimpulan yang menyeluruh dapat dibuat,” katanya.
Mengulas keadaan mangsa, Shazeli berkata pelajar berkenaan berada dalam keadaan stabil, masih menerima rawatan dan menjalani proses pemulihan di hospital.
Beliau berkata polis turut merakam percakapan mangsa bagi membantu siasatan.
Mengenai kemungkinan tindakan suspek dipengaruhi kandungan media sosial berunsur jenayah, Shazeli berkata aspek itu turut disiasat.
“Apa jenis video atau kandungan media sosial yang terlibat tidak dapat saya dedahkan kerana siasatan masih berjalan,” katanya.
Sebelum ini, beberapa surat yang dipercayai milik suspek berusia 15 tahun tular di media sosial. Surat berkenaan didakwa mengandungi catatan mengenai dirinya serta beberapa individu lain.
Dalam kejadian kira-kira 9.30 pagi Isnin lalu, seorang pelajar perempuan Tingkatan Tiga cedera di beberapa bahagian badan selepas dipercayai ditikam suspek menggunakan sebilah pisau di kawasan sekolah.
Suspek, yang dilaporkan tidak hadir ke sekolah sejak beberapa bulan lalu kerana menjalani rawatan kesihatan, dipercayai memasuki kawasan sekolah melalui pintu utama.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi sebelum ini dilaporkan berkata suspek direman selama empat hari hingga Jumaat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
