PARIS – Mahkamah Perancis mula menjatuhkan hukuman terhadap individu yang ditahan susulan demonstrasi besar-besaran pada 17 Oktober lalu yang bertukar menjadi rusuhan dan kegiatan vandalisme.
Antara yang dikenakan hukuman ialah seorang cef berusia 21 tahun dan bekas anggota bomba, yang dijatuhi hukuman penjara lapan bulan. Daripada tempoh itu, dua bulan perlu dijalani di dalam penjara.
Lelaki berkenaan ditahan sebelum demonstrasi bermula selepas polis menemui lapan botol minuman beralkohol dalam begnya. Penyiasat turut menemukan rakaman dalam telefon bimbitnya yang menunjukkan dia membaling bom petrol sehari sebelum kejadian, menurut laporan BFMTV.
Seorang pengawal keselamatan berusia 23 tahun pula dijatuhi hukuman penjara setahun dengan pelaksanaan hukuman ditangguhkan. Dia turut dilarang memiliki senjata dan menyertai demonstrasi selama setahun selepas didapati menggunakan bahan piroteknik terhadap seorang anggota polis di Champs-Élysées.
Kedua-dua lelaki itu dilaporkan tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Sementara itu, demonstrasi yang pada awalnya tercetus susulan tuntutan penambahbaikan kemudahan sekolah dan ketidakpuasan terhadap kenaikan kos sara hidup merebak ke beberapa wilayah di Perancis. Kementerian Dalam Negeri negara itu menganggarkan kira-kira 550,000 orang menyertai demonstrasi berkenaan.
Sumber : BERNAMA









