ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

MCMC Perluas Pelaksanaan MOCN Tingkat Kualiti Liputan Internet Di Kawasan Terhad

BATU PAHAT – Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bercadang memperluaskan pelaksanaan Multi-Operator Core Network (MOCN) ke seluruh negara bagi meningkatkan capaian internet di kawasan yang masih mempunyai liputan telekomunikasi terhad.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata inisiatif itu membolehkan syarikat telekomunikasi berkongsi rangkaian sedia ada, khususnya bagi memperluaskan liputan di kawasan luar bandar, pedalaman dan lokasi yang mempunyai penerimaan isyarat lemah.

Beliau berkata menerusi MOCN, syarikat telekomunikasi yang memiliki infrastruktur di sesuatu kawasan boleh berkongsi rangkaian dengan operator lain, sekali gus membolehkan pengguna menikmati liputan isyarat yang lebih meluas.

“Setakat ini, MOCN telah dilaksanakan di lima lokasi iaitu dua menara telekomunikasi di Bukit Putus, Negeri Sembilan serta masing-masing satu lokasi di Prima Gambang, Pahang; Plaza Tol Kota Seri Langat di Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE), Banting, Selangor; dan Tanjung Asam, Pulau Pinang.

“Di Johor pula, beberapa lokasi sedang dikenal pasti untuk pelaksanaan inisiatif ini. Berdasarkan penilaian dan kajian MCMC, kawasan yang masih mempunyai liputan 4G atau 5G terhad kebanyakannya berada di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih Kementerian Komunikasi di Kampung Parit Maimon di sini hari ini.

Fahmi berkata antara faktor yang menyumbang kepada kelemahan liputan telekomunikasi ialah kedudukan banyak penempatan di kawasan kampung yang dikelilingi atau terlindung oleh pokok kelapa sawit, sekali gus menjejaskan penerimaan isyarat.

“Johor kekal menjadi antara negeri yang diberikan keutamaan oleh kementerian dan MCMC dalam usaha mencapai liputan internet 100 peratus di kawasan berpenduduk,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *