43 Guni Wang Dikira 13 Jam, Kutipan Masjid Cecah RM5 Juta
KISHOREGANJ: Sebuah masjid bersejarah di Bangladesh mencatat kutipan tertinggi dalam sejarahnya selepas wang berjumlah lebih 159 juta taka atau AS$1.29 juta, kira-kira RM5 juta, ditemukan di dalam peti-peti tabungnya.
Kutipan luar biasa itu diperoleh daripada 13 peti tabung besi milik Masjid Pagla yang terletak di kawasan Harua, berhampiran Sungai Narsunda di Kishoreganj.
Peti-peti tabung berkenaan mula dibuka pada pukul 7 pagi sebelum proses pengiraan selesai kira-kira pukul 8 malam, mengambil masa keseluruhan selama 13 jam.
Seramai kira-kira 590 orang terlibat dalam proses tersebut, termasuk ahli jawatankuasa pengurusan masjid, pegawai bank, guru serta pelajar madrasah dan rumah anak yatim.
Sebelum proses pengiraan bermula, pihak pengurusan masjid dilaporkan mengeluarkan sebanyak 43 guni berisi wang tunai daripada peti-peti tabung tersebut.
Selain wang tunai, barang kemas, emas, perak dan mata wang asing turut ditemukan.
Peti tabung berkenaan dibuka selepas hampir enam bulan tidak dikira. Kali terakhir ia dibuka adalah pada 27 Disember 2025 dengan kutipan sebanyak 117.8 juta taka atau kira-kira AS$956,000.
Semua wang tunai yang dikumpulkan dimasukkan ke dalam akaun Masjid Pagla di Rupali Bank, manakala emas, perak dan mata wang asing disimpan di perbendaharaan daerah bagi tujuan keselamatan.
Dana terkumpul masjid itu kini dilaporkan berjumlah sekitar 1.14 bilion taka atau AS$9.27 juta, bersamaan lebih RM37 juta.
Masjid Pagla bukan sahaja menggunakan dana berkenaan bagi menampung operasi dan pembangunan masjid, malah keuntungan daripada simpanan itu turut disalurkan bagi membantu masjid, madrasah, rumah anak yatim, golongan kurang berkemampuan serta pesakit yang memerlukan bantuan kewangan di sekitar daerah tersebut.
Pihak pengurusan turut merancang pembinaan sebuah kompleks Islam moden yang mampu menampung antara 40,000 hingga 50,000 jemaah pada satu-satu masa.
Kompleks tersebut dijangka dilengkapi kemudahan pendidikan, perpustakaan, pusat pengajian agama, ruang solat wanita, kafeteria dan bahagian teknologi maklumat.
Kutipan luar biasa itu memperlihatkan besarnya kepercayaan masyarakat terhadap institusi masjid, selain menggambarkan bagaimana sumbangan orang ramai boleh dimanfaatkan bagi tujuan pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti.
