ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Jejambat 8 Meter Jadi ‘Laluan Selamat’ Gajah di Kahang-Mersing

JOHOR BAHRU, 2 Julai – Tragedi hidupan liar maut dilanggar kenderaan di jalan raya diharap dapat dikurangkan menerusi projek pembinaan laluan lintasan hidupan liar di Jalan Kahang-Mersing yang bernilai RM66 juta.

Projek berkenaan dijangka siap pada Februari 2028 dan dibina bagi menyediakan laluan lebih selamat kepada haiwan liar, khususnya gajah, untuk menyeberangi jalan tanpa bertembung dengan kenderaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, projek sepanjang 1.2 kilometer itu melibatkan pembinaan jejambat setinggi lapan meter dan sepanjang 200 meter.

Reka bentuk tersebut membolehkan hidupan liar bergerak melalui ruang di bawah jejambat, sekali gus mengurangkan risiko kemalangan yang boleh mengorbankan haiwan serta membahayakan pengguna jalan raya.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Johor komited memastikan pembangunan dilaksanakan tanpa mengabaikan keselamatan rakyat, alam sekitar dan kelangsungan hidupan liar.

Setakat 29 Jun lalu, projek berkenaan telah mencapai kemajuan sekitar 10.12 peratus dan perkembangannya sedang dipantau secara rapat.

Dalam masa sama, pengguna jalan raya dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika melalui kawasan berhampiran habitat hidupan liar, terutama pada waktu malam dan di laluan yang sering menjadi kawasan pergerakan haiwan.

Peringatan itu hadir selepas seekor anak gajah betina berusia kira-kira lima tahun maut dilanggar sebuah Perodua Bezza di Jalan Felda Nitar, Mersing, pada jam 2.28 pagi.

Kejadian tersebut mengundang rasa pilu apabila seekor gajah dewasa yang dipercayai ibu kepada anak gajah itu dilaporkan menunggu selama kira-kira tujuh jam di sisi bangkai anaknya sebelum ia ditanam.

Tragedi itu bukan sekadar kehilangan seekor haiwan liar, tetapi menjadi peringatan bahawa pembangunan jalan raya perlu mengambil kira laluan semula jadi yang telah digunakan hidupan liar sejak sekian lama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *