Hukuman Najib perlu diteruskan, pendirian DAP tidak berubah-Anthony Loke
MUAR, 3 Julai – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menegaskan pendirian parti itu berhubung bekas Perdana Menteri, Najib Razak, kekal konsisten apabila berpandangan hukuman yang dijatuhkan mahkamah terhadap beliau perlu diteruskan.
Menurut Ahli Parlimen Seremban itu, DAP tidak pernah mengubah pendirian berhubung kes berkenaan kerana ia melibatkan skandal besar yang telah diputuskan melalui proses perundangan.
“Kita konsisten dalam perkara itu bahawa satu skandal besar telah berlaku dan hukuman penjara sudah dijatuhkan. Maka keputusan mahkamah perlu dipatuhi serta dihormati oleh semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah Pakatan Harapan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor di Bakri.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Skudai, Marina Ibrahim, yang mendakwa hilang kepercayaan terhadap politik selepas berbual dengan seorang pemimpin DAP berhubung kemungkinan pengampunan Najib.
Mengulas dakwaan itu, Loke menyifatkan tuduhan yang dibuat oleh individu yang meninggalkan parti sebagai perkara biasa dalam politik dan tidak menjejaskan pendirian DAP.
“Kalau individu tersebut masih menjadi calon, dia tidak akan bercakap begitu. Perkara seperti ini lumrah dalam politik. Bagi kita, pendirian parti tetap jelas dan perjuangan DAP bukan berasaskan individu. Kita teruskan sahaja perjuangan,” katanya.
Najib sebelum ini dijatuhi hukuman penjara dan denda selepas disabitkan bersalah dalam kes melibatkan dana 1MDB, dengan Mahkamah Tinggi memutuskan beliau bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa serta pengubahan wang haram
