ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

BUDI MADANI Salur Subsidi RM11.2 Bilion, Manfaatkan Hampir 14 Juta Rakyat

KUALA LUMPUR – Program penyasaran subsidi bahan api menerusi inisiatif BUDI MADANI merekodkan penggunaan sebanyak 11.1 bilion liter bahan api dengan nilai jualan keseluruhan mencecah RM22.1 bilion setakat 31 Mei 2026.

Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan daripada jumlah tersebut, kerajaan telah menanggung subsidi sebanyak RM11.2 bilion bagi memastikan manfaat bantuan terus dinikmati rakyat yang layak.

Menurut MOF, pelaksanaan BUDI MADANI kini memberi manfaat kepada hampir 14 juta rakyat Malaysia, dengan perbelanjaan subsidi meningkat secara purata tiga kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu susulan ketidaktentuan harga minyak global akibat krisis di Asia Barat.

“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan program BUDI MADANI serta melaksanakan penambahbaikan yang bersesuaian dari semasa ke semasa bagi memastikan bantuan disalurkan secara adil, berkesan dan tepat kepada golongan yang benar-benar memerlukan,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Jawapan tersebut diberikan bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) berhubung jumlah penerima manfaat program BUDI untuk bahan api sehingga Mei 2026 serta nilai subsidi yang telah disalurkan.

MOF menjelaskan bahawa rakyat yang memenuhi syarat kelayakan tidak perlu membuat permohonan untuk menikmati manfaat BUDI MADANI kerana sistem itu menggunakan kriteria yang jelas dan mudah.

Antara syarat yang ditetapkan ialah pemohon mestilah warganegara Malaysia, pemegang MyKad yang sah serta memiliki lesen memandu yang masih berkuat kuasa dalam kategori yang layak.

Bagi memastikan tiada golongan yang layak tercicir daripada menerima bantuan tersebut, kerajaan telah menyediakan pelbagai saluran sokongan termasuk portal semakan kelayakan dan transaksi, pusat khidmat pelanggan BUDI MADANI serta hebahan maklumat secara berterusan melalui pelbagai platform media.

Menurut MOF, kerajaan turut melaksanakan penambahbaikan secara berterusan berdasarkan data penggunaan semasa dan maklum balas yang diterima daripada pengguna bagi memastikan keberkesanan program itu dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *