ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

“Tiada Arahan Istana”, Onn Hafiz Dakwa Puad Zarkashi Putar Belit Proses Perlembagaan

JOHOR BAHRU – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menolak dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang mendakwa pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibuat atas arahan Istana Johor.

Sebaliknya, Menteri Besar Johor itu menegaskan pembubaran DUN Johor pada 1 Jun lalu dilaksanakan mengikut proses perlembagaan selepas memperoleh perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Menurut beliau, pembubaran DUN tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya oleh Menteri Besar, sebaliknya perlu mematuhi peruntukan yang ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor sebelum mendapat perkenan pihak Istana.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang dibuat oleh Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi. Pembubaran DUN Johor dibuat selepas mendapat titah perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail selaras dengan Fasal 23, Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895.

“Saya telah menghadap dan mempersembahkan perkara tersebut sebelum mengumumkan pembubaran DUN kepada rakyat. Titah perkenan itu merupakan proses perlembagaan yang wajib dipatuhi dan tidak boleh ditafsirkan sebagai arahan atau campur tangan politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Onn Hafiz berkata, dakwaan yang mengaitkan institusi Diraja dengan keputusan politik UMNO Johor adalah tidak bertanggungjawab dan boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat.

Beliau menegaskan setiap individu berhak mempunyai pandangan berbeza atau membuat keputusan politik masing-masing, namun kenyataan yang melibatkan institusi Diraja perlu dibuat dengan penuh tanggungjawab.

“Tindakan memutarbelitkan proses perlembagaan sehingga mewujudkan persepsi bahawa institusi Diraja mencampuri urusan politik adalah sesuatu yang serius.

“Kenyataan seperti ini berpotensi menyentuh sensitiviti berkaitan kaum, agama dan institusi Diraja (3R), selain boleh menjejaskan keharmonian serta ketenteraman awam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan UMNO Johor akan membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.

Pada masa sama, Onn Hafiz menyeru semua pihak agar menghormati institusi Diraja, mematuhi Perlembagaan dan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor serta tidak menjadikan institusi berkenaan sebagai bahan dalam pertikaian politik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *