Singapura Naikkan Bayaran Masuk Teksi Malaysia Ke S$15 Bermula 1 Januari 2027
SINGAPURA – Singapura akan menaikkan kadar bayaran Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVP) bagi teksi berdaftar Malaysia yang memasuki republik itu kepada S$15 (RM3.18 = S$1) bagi setiap perjalanan, berkuat kuasa 1 Januari 2027.
Kadar baharu itu meningkat berbanding bayaran semasa sebanyak S$2 sebulan.
Penguasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA) dalam satu kenyataan memaklumkan, pelarasan tersebut dibuat bagi merapatkan jurang kos operasi antara teksi berdaftar Malaysia dan teksi berdaftar Singapura yang menawarkan perkhidmatan di republik itu.
Menurut LTA, hanya teksi berdaftar Malaysia yang memiliki Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSVL) yang sah serta Permit Kenderaan Perkhidmatan Awam ASEAN (PSVP ASEAN) yang dikeluarkan oleh LTA dibenarkan menyediakan perkhidmatan rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura.
“Pengunjung dinasihatkan supaya menggunakan teksi berlesen bagi perjalanan rentas sempadan kerana hanya kenderaan berkenaan mempunyai perlindungan insurans yang sah,” menurut kenyataan itu.
LTA turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan perkhidmatan pengangkutan haram kerana penumpang mungkin tidak mendapat perlindungan insurans atau pampasan sewajarnya sekiranya berlaku kemalangan.
Menurutnya, tindakan penguatkuasaan terhadap perkhidmatan pengangkutan terus (point-to-point) haram akan terus dipertingkatkan bagi melindungi keselamatan penumpang serta menjaga kepentingan pemandu teksi berlesen.
