Anwar Ucap Terima Kasih Kepada Putin Atas Sokongan Kerjasama Tenaga, PETRONAS
KAZAN – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menzahirkan penghargaan kepada Presiden Rusia, Vladimir Putin atas sokongan berterusan Moscow dalam memperkukuh kerjasama sektor tenaga dengan Malaysia, khususnya melibatkan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).
Anwar berkata, hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia terus berkembang merangkumi pelbagai sektor strategik termasuk perdagangan, pelaburan, kewangan dan ekonomi halal.
Menurut beliau, kedua-dua negara juga kini berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan pengaturan liberalisasi visa yang dijangka memudahkan pergerakan rakyat serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang.
“Malaysia amat menghargai sokongan yang diberikan Rusia, khususnya dalam sektor tenaga. PETRONAS kini bekerjasama rapat dengan syarikat-syarikat Rusia bagi meneroka peluang baharu yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,” katanya ketika menyampaikan ucapan pembukaan dalam mesyuarat dua hala bersama Putin di Kazan pada Rabu.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Kementerian Luar Rusia sedang mempergiat usaha untuk memuktamadkan beberapa perjanjian berkaitan bagi memperkukuh lagi hubungan strategik antara kedua-dua negara.
Anwar turut merakamkan penghargaan terhadap komitmen Rusia dalam membantu memperkukuh keselamatan tenaga, termasuk ketika dunia berdepan krisis tenaga sebelum ini.
“PETRONAS berada di sini bersama rakan strategiknya, Rosneft, selain mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat lain bagi memperluaskan kerjasama dalam sektor berkaitan,” katanya.
Rosneft merupakan syarikat tenaga bersepadu terbesar di Rusia dan antara pengeluar minyak serta gas terbesar dunia yang terlibat dalam aktiviti cari gali, pengeluaran, penapisan dan pemasaran produk petroleum.
Pada April lalu, Anwar memaklumkan bahawa PETRONAS akan meneruskan rundingan dengan Rusia bagi mendapatkan bekalan minyak yang mencukupi untuk keperluan domestik negara.
Dalam pada itu, beliau berharap Rusia akan terus menyokong usaha memperluaskan hubungan dalam sektor lain termasuk meningkatkan kesalinghubungan udara antara Malaysia dengan bandar-bandar utama Rusia seperti Moscow dan Kazan.
Menurutnya, langkah itu berpotensi merancakkan sektor pelancongan, perdagangan dan hubungan rakyat kedua-dua negara.
Anwar berkata, Malaysia dan Rusia juga sedang meneroka peluang kerjasama dalam bidang kewangan Islam dan ekonomi halal, selain terus mencatat kemajuan positif dalam rundingan perdagangan dan pelaburan.
Pada 2024, jumlah perdagangan antara ASEAN dan Rusia direkodkan mencecah AS$18.1 bilion, manakala pelaburan langsung asing Rusia di ASEAN bernilai AS$92.97 juta.
Bagi Malaysia, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar dalam kalangan negara Eropah pada 2025 dengan nilai perdagangan keseluruhan sebanyak RM8.72 bilion.
Eksport utama Malaysia ke Rusia melibatkan produk elektrik dan elektronik, jentera, peralatan serta makanan diproses, manakala import dari Rusia terdiri daripada produk petroleum, mineral dan bahan kimia.
Anwar kini berada di Kazan bagi menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Rusia yang berlangsung dari 17 hingga 18 Jun, sebagai sebahagian usaha memperkukuh hubungan strategik antara ASEAN dan Rusia.
