NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

RM80-RM110 Bukan Kadar Tambang Rasmi ECRL

KUALA LUMPUR – Kadar tambang bagi perkhidmatan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) masih dalam peringkat penelitian dan belum dimuktamadkan, kata Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL).

MRL menjelaskan bahawa sehingga kini tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat berhubung kadar tambang ECRL dan maklumat yang tular di media sosial hanyalah spekulasi semata-mata.

Menurut syarikat itu, kadar tambang yang sedang diperkatakan tidak mencerminkan harga sebenar yang akan dikenakan apabila perkhidmatan ECRL mula beroperasi pada Januari 2027.

“Sebarang kadar tambang yang sedang tular di media sosial hanyalah spekulasi dan tidak mewakili kadar sebenar yang akan ditawarkan kepada pengguna.

“Kadar tambang ECRL kini sedang diperhalusi bersama pihak berkepentingan termasuk Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi memastikan ia berpatutan, kompetitif dan mesra pengguna,” menurut kenyataan MRL pada Selasa.

Sebelum ini, tular di media sosial satu hantaran yang menganggarkan kadar tambang perjalanan ECRL dari Gombak ke Kota Bharu berdasarkan model tambang perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) serta jarak laluan yang terlibat.

Mengulas perkara itu, MRL menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat andaian atau kesimpulan berdasarkan maklumat yang belum disahkan.

Menurutnya, kadar tambang rasmi hanya akan diumumkan oleh Kementerian Pengangkutan (MOT) selepas semua proses penilaian dan kelulusan selesai dilaksanakan.

“Orang ramai disaran menunggu pengumuman rasmi daripada MOT, MRL dan saluran komunikasi ECRL bagi mendapatkan maklumat yang tepat,” katanya.

Dalam masa sama, MRL menghargai keterujaan orang ramai terhadap projek ECRL dan memberi jaminan bahawa kadar tambang yang bakal ditetapkan akan mengambil kira kepentingan pengguna serta menawarkan nilai terbaik kepada rakyat.

Jajaran ECRL sepanjang 665 kilometer akan menghubungkan negeri-negeri Pantai Timur iaitu Kelantan, Terengganu dan Pahang dengan Selangor di Pantai Barat Semenanjung Malaysia.

Apabila beroperasi kelak, perkhidmatan itu dijangka dapat memendekkan tempoh perjalanan antara Kota Bharu dan Gombak kepada kira-kira empat jam berbanding sekitar tujuh jam melalui jalan raya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *