NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Ribuan Ikan Mati Terapung Di Tasik Danau Kota

KUALA LUMPUR – Ribuan bangkai ikan yang ditemui terapung di permukaan air di Taman Tasik Danau Kota mencetuskan kebimbangan orang ramai susulan bau busuk yang menyelubungi kawasan berkenaan serta kemungkinan berlakunya pencemaran air.

Kejadian itu tular di media sosial selepas beberapa pengguna berkongsi gambar dan video yang menunjukkan sejumlah besar ikan mati di tasik tersebut sejak beberapa hari lalu.

Seorang pengguna Threads, @alifishakayob, memaklumkan bahawa aduan rasmi telah dikemukakan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meminta tindakan segera diambil.

Menurutnya, laporan itu dibuat selepas beliau sendiri menyaksikan keadaan tasik yang disifatkan semakin membimbangkan akibat kematian ikan dalam jumlah yang banyak.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan menyeluruh, melaksanakan kerja pembersihan dan mengambil langkah sewajarnya bagi menangani isu pencemaran yang berpotensi menjejaskan kesihatan awam serta kelestarian alam sekitar.

Perkongsian tersebut turut memaparkan nombor rujukan aduan yang dipercayai berkaitan laporan mengenai keadaan tasik berkenaan.

Dalam pada itu, beberapa pengguna media sosial lain turut meluahkan kebimbangan dan mempersoalkan punca kejadian yang menyebabkan kematian ikan secara besar-besaran.

Seorang pengguna, @athira_faiqah, berpendapat insiden itu mungkin berpunca daripada kekurangan oksigen terlarut dalam air, berkemungkinan akibat perubahan keadaan cuaca dan hujan lebat yang berlaku sebelum ini.

Setakat ini, punca sebenar kejadian masih belum dikenal pasti dan maklum balas daripada DBKL sedang ditunggu bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung insiden tersebut.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *